Pemilik tanah perlu ikut pelan rawatan tapak sampah haram

in Edisi Selangor KL by

Lokasi tapak sampah haram.Amirudin meninjau lokasi tapak sampah haram di Taman Puncak Jalil.

SERDANG – Kesemua pemilik tanah diminta mengikut pelan kerajaan negeri bagi proses rawatan dan pemulihan tanah yang disebabkan aktiviti sampah haram di Taman Puncak Jalil di sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tapak sampah haram tersebut tidak beroperasi lebih setahun lalu namun air ‘leachate’ yang mengalir masuk ke sistem saliran sedia ada menyebabkan bau busuk dan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk setempat.

Menurutnya, kesemua pemilik tanah tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Langkah segera yang akan dilakukan adalah bagi menghentikan aliran air leachate melalui pembinaan ban supaya air tersebut tidak mengalir ke kolam sedia ada.

“Kedua, pemilik tanah akan dipanggil. Kita akan guna akta sedia ada untuk rampas tanah, namun bagi peringkat awal kita minta mereka benarkan agensi negeri masuk untuk kerja rawatan tanah,” katanya selepas melawat tapak sampah haram di Taman Puncak Jalil, pada Isnin.

Beliau berkata, dianggarkan kos rawatan di atas tanah berkeluasan lebih sembilan hektar tanah membabitkan 15 lot itu menelan antara RM1 juta ke RM3 juta.

Tambahnya, perkara tersebut akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini bagi kelulusan peruntukan.

**media[2012059]**

“Saya minta pemilik tanah beri kerjasama dan ikut pelan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah ini bersama.

“Kalau tidak, kita akan syorkan kepada penduduk setempat ambil tindakan undang-undang. Penduduk berhak untuk memfailkan saman terhadap pemilik tanah kerana kacau ganggu disebabkan bau busuk dialami mereka akibat aktiviti sampah haram tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, aktiviti sampah haram itu dikesan pada 2015 namun telah dihentikan operasi lebih setahun lalu.

“Pihak majlis (MBSJ) sebelum ini sudah beberapa kali mengambil tindakam termasuk mengeluarkan kompaun RM25,000 yang semuanya dibayar. Kita juga sudah pasang barricade (penghadang) konkrit dan itu juga dipecahkan.

“Lokasi ni bukan tanah kerajaan dan apabila melibatkan tanah persendirian, proses rampasan tanah perlu mengikut prosedur ditetapkan iaitu Notis 7A (minta pemilik tanah buat rawatan), disusuli 7B (penyiasatan) dan kemudian 8A (rampasan) yang mengambil masa antara 3 hingga 9 bulan,” katanya.

Beliau menjelaskan, Notis 7A telah dilaksanakan dan tiba masa Notis 7B diteruskan.

Pada Isnin, penduduk PUJ 2 Taman Puncak Jalil menggesa kerajaan Selangor menangani segera isu tapak pelupusan sampah haram di Seri Kembangan yang mengundang bau busuk dan merimaskan penduduk sekitar.

Pengerusinya, Harnarain Singh Gill berkata, penduduk telah mengambil beberapa tindakan termasuk membawa perkara itu kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han dan menghantar surat aduan rasmi kepada Amirudin untuk menangani perkara itu.