Penduduk Malaysia semakin cakna 3R

in Nasional by

Rizalman (dua dari kiri) merasmikan gimik perasmian Majlis Malam Apresiasi Keluarga 3R sempena HKSK 2022 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Arau pada Sabtu.Johan kategori sekolah menengah peringkat kebangsaan PerKISS, milik Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, Kedah.Rizalman (tengah) bergambar bersama wakil daripada 17 buah sekolah yang berjaya menerima pengiktirafan tertinggi iaitu Sijil Emas bagi inisiatif pensijilan sekolah bersih.Rizalman

KANGAR – Kadar kitar semula kebangsaan pada tahun 2022 meningkat kepada 33.17 peratus berbanding sasaran 32.5 peratus dengan jumlah barangan kitar semula mencecah 4.626 juta tan.

Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, kadar berkenaan selari dengan sasaran kadar kitar semula ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025.

Menurutnya, jumlah sisa kitar semula yang dicatatkan di negara ini semakin meningkat saban tahun dan ia membuktikan penduduk Malaysia semakin cakna tentang kepentingan melaksanakan aktiviti 3R (Reduce, Reuse dan Recycle).

“Peningkatan kadar ini didorong oleh beberapa faktor iaitu kerancakan ekonomi pasca pandemik Covid-19 dan pembukaan kesemua sektor telah memacu kepada penggunaan sumber bahan serta membolehkan aktiviti kitar semula dilaksanakan,” katanya ketika merasmikan Majlis Malam Apresiasi Keluarga 3R sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2022 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau pada Sabtu.

**media[2010976]**

Menurutnya, perkara ini juga didorong oleh pelaksanaan program kitar semula yang telah dilaksanakan secara berterusan pada 2021.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merangka dasar pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran yang menekankan amalan Sustainable Consumption and Production (SCP).

“Pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap bukan saja dapat mengurangkan kos yang semakin meningkat, malah dapat mengurangkan impak negatif kepada sosial dan alam sekitar.

“Selain itu, KPKT sedang dalam proses membangunkan Rangka Kerja Pelaksanaan EPR Sisa Pepejal di Malaysia untuk mengenakan tanggungjawab kepada pengeluar bagi produk yang dihasilkan sehingga peringkat pasca-pengguna,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan HKSK 2022 yang disambut adalah acara tahunan sejak 2015 untuk menyemarakkan amalan dan budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat.

“Sambutan HKSK 2022 bertemakan Keluarga 3R di mana pembudayaan amalan 3R dalam institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan agar apa yang dirancang dan diusahakan oleh kerajaan dapat dilaksanakan di peringkat mikro dan seterusnya dapat menyumbang ke peringkat global,” katanya.

Pengiktirafan

Dalam pada itu, KPKT turut memberi pengiktirafan kepada sekolah dan masyarakat sivil yang turut terlibat dalam program pemerkasaan kitar semula iaitu seramai sembilan orang pemenang Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS).

Selain itu, sebanyak 17 buah sekolah juga berjaya menerima pengiktirafan tertinggi iaitu Sijil Emas untuk inisiatif pensijilan sekolah bersih.

**media[2010975]**

Manakala sebanyak 23 sektor komersial, perindustrian dan keinstitusian (CII) juga telah menerima penarafan dan pengiktirafan dalam amalan terbaik pengurusan sisa pepejal daripada keseluruhan penyertaan sebanyak 250 sektor CII.

Majlis Malam Apresiasi Keluarga 3R sempena HKSK 2022 juga merupakan medium untuk memberi penarafan dan pengiktirafan kepada sektor CII mengikut tahap pematuhan pengurusan sisa pepejal.

Anugerah Penarafan Bintang Kemudahan Pengurusan Sisa Pepejal pula merupakan inisiatif baharu untuk memberi penarafan dan pengiktirafan kepada operator kemudahan pengurusan sisa pepejal (PSP) yang mencapai tahap pematuhan pengurusan pengoperasian yang ditetapkan.

Penilaian ini dilaksanakan di 37 kemudahan PSP di bawah seliaan SWCorp yang merangkumi tapak pelupusan sanitari, tapak pelupusan terbuka, loji rawatan air larut resap, stesen permindahan dan insinerator.

Johan kategori

Bagi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, Kedah, Zainab Yaman, kejayaan sekolahnya muncul johan kategori sekolah menengah peringkat kebangsaan PerKISS adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk pelajarnya.

**media[2010974]**

Menurutnya, sekolah tersebut pernah muncul johan kategori sama pada 2018 dan 2019.

Dalam pada itu, johan bagi kategori sekolah rendah peringkat kebangsaan PerKISS pula menjadi milik Sekolah Kebangsaan Taman Suria dari Johor.

Guru penyelaras Kelab Alam Sekitar sekolah berkenaan, Hafizul Syarafi Mohd Noor berkata, program yang disertai itu berjaya mendidik pelajar sekolahnya untuk belajar menjaga alam sekitar dan lebih 100,000 kilogram barangan kitar semula berjaya dikumpul.