Satu aduan jual telur kotor diterima di Johor

in Edisi by

Lee Ting HanPengadu mendakwa telur kotor dibeli kerana sukar mendapatkan telur ayam gred kawalan. (Gambar hiasan)

ISKANDAR PUTERI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, menerima satu aduan membabitkan penjualan telur kotor yang mengelirukan pengguna, dilaporkan berlaku di daerah Johor Bahru baru-baru ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, peniaga terlibat telah dipanggil bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Terdapat sekurang-kurangnya dua kes telur kotor yang tular di media sosial dikesan sejak beberapa hari lalu.

“Satu aduan rasmi berhubung telur kotor berlaku di Johor Bahru sudah diterima. Siasatan sedang dilakukan sama ada aduan berkenaan benar atau sebaliknya.

“Pengadu mendakwa telur kotor dibeli kerana sukar mendapatkan telur ayam gred kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi soal jawab lisan, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Isnin.

Ting Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, permintaan telur ayam gred kawalan di negeri ini dilaporkan mengalami peningkatan secara mendadak.

**media[2011267]**

Jelasnya, Johor merekodkan pengeluaran telur ayam pelbagai gred sebanyak 10 hingga 12 juta telur seminggu.

“Kerajaan mengawal harga bagi telur ayam gred A, B dan C, masing-masing dijual dengan harga 45 sen sebiji, 43 sen dan 41 sen.

“Telur ayam kawalan menjadi pilihan kerana harganya lebih rendah berbanding telur ayam jenis premium atau Omega, yang bukan dibawah kawalan.

“Selain itu, permintaan telur daripada industri terutama bakeri membabitkan pembuatan roti dan kek turut dilaporkan meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Ting Han berkata, KPDNHEP Johor akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam usaha meningkatkan lagi pembekalan telur dan ayam di dalam pasaran.

MM2H perlu dihidupkan semula, atasi lambakan rumah mewah di Johor

Kerajaan Johor mendesak agar Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dihidupkan semula Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi lambakan perumahan mewah tidak terjual di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, MM2H membuka ruang kepada penjualan rumah mewah berharga RM500,000 ke atas yang tidak terjual kepada individu yang layak.

“Program MM2H, sudah tergendala dua tiga tahun yang lalu. Kerajaan Negeri berharap agar kerajaan Persekutuan membuka semula program tersebut dengan memberi ruang kepada pembeli di luar negara untuk membeli rumah mewah yang tidak terjual di negeri ini.

“Mungkin di peringkat kerajaan negeri sudah ada (cadangan secara rasmi) tetapi saya juga akan suarakan perkara kepada Menteri berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, berkata terdapat 80 peratus rumah jenis pangsapuri khidmat (service apartment) yang berharga lebih setengah juta tidak terjual di negeri ini.

Katanya, angka itu merangkumi keseluruhan daripada 30,290 rumah siap tidak terjual di Johor bagi suku ketiga tahun 2021.

“Sementara baki 20 peratus lagi rumah yang tidak terjual ada jenis rumah mewah dan banglo yang terletak di kawasan bandar raya ini.

“Kita tidak boleh menyekat pembinaan servis apartment ini, jika pembinaannya berada dalam kawasan yang memang banyak permintaan,” katanya.

Pada tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, program MM2H ajan dilihat semula agar setiap peserta di bawah program itu yang diterima bertujuan sama-sama memajukan negara.

Jelas beliau, peserta baharu program MM2H perlu mematuhi dasar baharu bagi memastikan hanya yang berkualiti dan sah serta memberi sumbangan pertumbuhan ekonomi dibenarkan menetap di negara ini.

Pada September 2021 Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kerajaan perlu menyegerakan semakan semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan.