Sepanyol ambil iktibar kekalahan kepada Jepun

in Sukan by

Pedri (depan) berharap Sepanyol mempamerkan aksi berkualiti dalam saingan kalah mati Piala Dunia menentang Maghribi di Stadium Education City pada Selasa. – Foto EPA

TEWAS kepada Jepun bagaikan loceng penggera buat Sepanyol untuk bangkit mempamerkan aksi bertenaga menentang Maghribi dalam saingan kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 pada Selasa.

Pemain tengah Sepanyol, Pedri menganggap kegagalan itu sebagai amaran dan skuad perlu sedar bahawa tiada peluang kedua jika mereka mengalami kekalahan di luar jangka.

“Kami sedar bahawa semua perlawanan adalah penentuan hidup atau mati.

“Perlawanan terakhir amat sukar. Ia adalah satu tamparan keras, kami tidak menjangkakan keputusan itu menentang Jepun,” katanya.

Sepanyol terlepas peluang mengungguli Kumpulan E selepas kekalahan mengejut kepada skuad Samurai Biru, namun masih layak ke aksi kalah mati selepas Jerman menewaskan Costa Rica.

“Nasib baik kami mempunyai peluang lagi. Pada satu ketika dalam perlawanan terakhir Kumpulan E, Sepanyol seakan terlepas peluang untuk mara ke pusingan kalah mati dengan Costa Rica sebaliknya berpeluang cerah mara jika mengatasi Jerman,” katanya.

Pedri juga tidak boleh fokus kepada perkara lain selepas dia mendapati Sepanyol mungkin tersingkir sebaliknya cuba memastikan La Roja mengubah corak permainan mereka.

“Saya melihat pada papan skor. Apabila saya melihat Costa Rica di tempat kedua dan kami tersingkir saya cuba mencari gol.

“Saya tidak menyedari Jerman sudah mendahului dan kami berada di tempat kedua sekali lagi. Saya berada dalam keadaan sedih sepanjang perlawanan,” katanya.

Pada aksi terakhir Kumpulan E, Jerman menewaskan Costa Rica, 4-2, namun gagal mara ke pusingan kalah mati biarpun berkongsi empat mata dengan Sepanyol.

Sebaliknya Sepanyol yang menghuni tangga kedua mara ke saingan 16 terbaik dengan kelebihan jaringan.