Anak pengawal keselamatan terima Anugerah Graduan Terbaik

in Edisi by

Aisyah Jannah bersama ibu bapanya selepas menerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma 2021 pada Majlis Konvokesyen UNIMEL ke-24 di MITC Ayer Keroh.

MELAKA – Seorang anak pengawal keselamatan menerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma 2021 pada Majlis Konvokesyen Universiti Melaka (UNIMEL) ke-24 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini, pada Selasa.

Graduan Diploma Pengajian Islam dan Pembangunan Sumber Manusia, Aisyah Jannah Jamaludin, 24, berkata, anugerah itu ditujukan kepada ibu bapanya, malah merupakan hadiah terindah sempena ulang tahun kelahiran bapanya, Jamaludin Abu Bakar yang ke-59 pada hari ini (Selasa).

Menurut anak kelahiran Duyong itu, tidak mudah baginya mendapat anugerah tersebut susulan menghadapi pelbagai masalah ketika mengikuti pengajian secara dalam talian sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Jujur agak mencabar belajar ketika pandemik kerana tidak ada suasana pembelajaran bersama rakan-rakan.

“Namun hikmah setiap hari belajar di rumah, saya dapat pandang wajah mak dan ayah, jadi itu yang memberi inspirasi dan saya lebih bersungguh-sungguh untuk belajar,” katanya yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Kitab Turath.

Pada majlis itu, Aisyah yang mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.91 menerima replika cek bernilai RM1,000 berserta piala dan sijil yang disampaikan oleh Canselor UNIMEL, Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Seorang lagi penerima Anugerah Graduan Terbaik Diploma Keseluruhan 2021, Siti Aishah Mohamad Poad,21, berkata kejayaan itu berpaksikan kepada kegigihan ibunya, Norobani Abdul Rashid,53 yang berstatus ibu tunggal sedang menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan perniagaan.

Menurutnya, bersyukur dapat menamatkan pengajian Diploma Perundangan Syariah dalam tempoh tiga tahun dengan memperolehi (CGPA) 3.89.

“Alhamdulillah, anugerah ini menambahkan semangat saya untuk terus menyambung pengajian di peringkat ijazah sejak mendaftarkan diri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Oktober lalu,” katanya.