Buaya di kawasan aktiviti manusia ditangkap, ditembak mati

in Edisi by

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki hilang selepas disambar buaya dalam kejadian di perairan Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin di Lahad Datu. (gambar dalam : Jafry)

KOTA KINABALU – Buaya dilihat berada di kawasan yang ada aktiviti manusia akan cuba ditangkap atau ditembak mati, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.

Ia susulan kejadian seorang kanak-kanak dibaham buaya di Lahad Datu pada Khamis yang menyebabkan kementeriannya menerusi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabahmembuat pemburuan buaya di sekitar kawasan serangan haiwan berkenaan.

“Buaya yang dilihat satu kilometer di hulu sungai dan satu kilometer dari sempadan kampung akan diburu.

“Untuk menjamin keselamatan sepenuhnya mungkin sukar berikutan aktiviti manusia juga yang mungkin memasuki kawasan buaya meski dahulunya diketahui tiada buaya.

“Jadi, semua buaya yang dilihat berada di kawasan ada aktiviti manusia akan cuba ditangkap atau ditembak mati,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau juga memaklumkan bagi kes kematian yang disebabkan serangan hidupan liar boleh memohon pampasan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Persekutuan.

“Nilai pampasan adalah RM20,000 dan JHL akan membuat pengesahan. Bagi kecederaan lain, nilai pampasan bergantung kepada kehilangan anggota akibat serangan.

“Syaratnya, orang yang membuat tuntutan pampasan adalah warganegara Malaysia,” jelasnya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki hilang selepas disambar buaya dalam kejadian di perairan Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin di Lahad Datu.

Dalam kejadian itu, bapa kanak-kanak terbabit parah akibat diserang buaya manakala kanak-kanak berkenaan tidak ditemui sehingga kini.