England tekad gasak kubu Perancis

in Sukan by

Southgate mahu pemain England mengasak kubu Perancis dalam saingan suku akhir Piala Dunia Qatar pada Ahad. – Foto EPA

ENGLAND akan menggunakan tempo permainan berintensiti tinggi menentang juara bertahan, Perancis pada aksi suku akhir Piala Dunia Qatar di Stadium Al Bayt, pada Ahad.

Pengendali Three Lions, Gareth Southgate mahu para pemainnya mengasak kubu Perancis bertali arus untuk memburu gol sekali gus mempunyai keupayaan untuk mengalahkan pasukan ternama itu.

“Apa yang kami perkatakan sebelum aksi menentang Senegal adalah menyerang lawan tanpa henti. Belum mahu berasa berpuas hati setelah mendahului sebaliknya perlu memastikan kami mengekalkan tahap intensiti perlawanan.

Jadi kami perlu lakukannya sekarang menentang juara dunia. Apabila anda imbau semula kejohanan kami sebelum ini, anda lihat pasukan yang menyingkirkan England daripada persaingan.

“Inilah ujian berikutnya buat pasukan ini,” ujar Southgate.

Three Lions meledak jaringan terbanyak di Qatar dengan 12 gol dan Southgate menggesa pemain bintangnya memburu gol seperti mereka lakukan ketika menang ke atas Iran, Wales dan Senegal.

Bagaimanapun, Southgate percaya rekod England pada kejohanan terdahulu banyak membantu mereka menjelang pertemuan dengan Perancis.

Three Lions layak ke separuh akhir Piala Dunia Rusia 2018, kemudian mara ke final Euro 2020 mengalahkan Jerman sebelum tumpas di tangan Itali menerusi penentuan sepakan penalti.