Felda taja 30 pelajar dalam program pengajian diploma animasi

in Nasional by

Idris (kiri) dan Burhanuddin ketika sesi soal jawab bersama ibu bapa dan pelajar.

SHAH ALAM – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerusi yayasannya memperuntukkan RM500,000 bagi menaja 30 orang generasi baharu Felda dalam program pengajian peringkat Diploma Teknologi Animasi 3D di Les’ Copaque Animation Academy (LCAA).

Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata, kerjasama antara Felda dan Les’ Copaque beraspirasikan matlamat untuk meningkatkan kesiapsiagaan digital seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) melalui pendedahan realiti dan praktikal.

Menurutnya, kerjasama ini penting untuk membina modal insan cemerlang dalam bidang teknologi maklumat.

Menurut Idris, sebagai contoh di Felda sekarang ini proses membaja sudah menggunakan dron.

“Dron ini lebih mudah di koordinasi untuk sektor pertanian dan seluruh kawasan tanaman boleh dibaja dengan mudah tanpa mengharapkan pekerja yang ramai.

“Di Felda juga kita dah mulakan projek coding robotik dengan menyasarkan 270 sekolah rendah di tanah rancangan manakala 101 buah sekolah menengah pula sudah pun mempunyai kelas pintar. Malah Program Usahawan Digital Felda juga sudah dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Felda dan dengan Les’ Copaque Animation Academy (LCAA) di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris; Ketua Pegawai Eksekutif Les’ Copaque Animation Academy (LCAA), Ahmad Akmal Ahmad Zaini dan Pengerusi Les’ Copaque Animation Academy (LCAA), Burhanuddin Md Radzi.

Difahamkan pelajar-pelajar ini telah memulakan sesi pengajian pada 19 September lalu dalam program Diploma Teknologi Animedia 3D yang berteraskan pembikinan produk animasi 3D dan Diploma Perniagaan Kreatif yang memberi fokus kepada pengurusan perniagaan dan juga selok-belok industri kreatif.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, kerjasama ini akan memberi peluang kepada mereka yang terlibat khususnya generasi baharu Felda untuk mengembangkan potensi mereka dengan menceburi kerjaya dalam sektor-sektor industri yang sedang pesat membangun seperti industri pembikinan animasi dan juga industri perfileman.

“Dengan termeterainya MoU ini, saya yakin dan percaya aspirasi pendidikan generasi baharu Felda diperkasakan seiring penguasaan digital yang akan menjadi penggerak masa hadapan yang lebih maju,” katanya.