Hikmah berzakat, rezeki Nabil melimpah

in Edisi Selangor KL by

Nabil membuat perkongsian mengenai zakat pada program Kongsi Rezeki Bersama Komuniti anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Darul Ehsan, pada Isnin.Nabil (kiri) menerima cenderamata disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

SUBANG JAYA – Pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad mendedahkan, pelakon serta penerbit, Datuk Rosyam Noor adalah individu penting yang mempengaruhinya untuk berzakat.

Katanya, beliau meminta tips untuk menjadi kaya dan berjaya daripada pelakon senior ketika mula bertapak dalam industri hiburan selepas menjuarai sebuah pertandingan realiti TV.

Menurut Nabil, Rosyam beritahu hanya keluarkan zakat dan amalan itu menjadi asbab rezekinya melimpah serta kekal relevan dalam industri hiburan.

“Orang kata industri hiburan ini bertahan paling lama pun lima tahun sahaja, tapi alhamdulillah saya masih di sini sudah 14 tahun.

“Saya percaya rezeki yang saya ada dan dapat pada hari ini bukan kerana kehebatan atau kemahiran saya tetapi daripada keberkatan menunaikan zakat,” katanya menerusi program Kongsi Rezeki Bersama Komuniti anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Darul Ehsan, pada Isnin.

Katanya, hikmah zakat juga banyak memberikan kebaikan termasuk ketenangan fikiran dan jiwa serta keberkatan dalam kehidupan.

Kita tak ada daya membahagiakan diri kita melainkan daripada izin ALLAH SWT melalui amalan-amalan kebaikan yang kita lakukan.

“Menjadi tugas kita untuk saling berpesan dan membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Jangan kata tidak, sedikit sebanyak kita kena bantu orang yang minta pertolongan,” katanya.

**media[2012628]**

Bapa kepada tiga cahaya mata itu turut berkongsi nikmat bersedekah yang paling memberi kesan dalam kehidupannya.

“Sewaktu saya jadi ‘mat despatch’, setiap petang saya akan bersolat di sebuah masjid di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Ada satu hari, selepas selesai solat Asar ada seorang pak cik tahan saya di pintu masjid minta duit. Dalam poket saya hanya ada RM2 untuk isi minyak motosikal untuk balik ke rumah di Puchong.

“Hari itu ALLAH SWT uji saya dengan pak cik tersebut dan saya sambut ujian tersebut dengan berikannya RM1.

“Dua minggu selepas itu saya masuk uji bakat dan diterima. Alhamdulillah, dengan RM1 saya berada di sini pada hari ini. Kalau saya tahu hasilnya begini, saya beri RM2 berkali ganda saya akan dapat,” selorohnya.

Beliau berharap, perkongsian itu memberi manfaat dan disebarkan untuk kebaikan bersama.