Isu dana RM600 bilion, Saifuddin rujuk Ketua Polis Negara

in Nasional by

Saifuddin Nasution – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkenaan isu dana RM600 bilion didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Saifuddin Nasution berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada Ketua Polis Negara itu mengenai isu dibangkitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media Perdana Menteri itu pada Isnin.

“Beliau (Anwar) juga ada membuat satu kenyataan umum pada semalam dan (Anwar berkata) akan serahkan (isu itu) kepada satu badan siasatan untuk meneliti perkara itu secara spesifik.

“Sudah tentu saya akan dapatkan pandangan daripada pihak badan siasatan berkaitan, kalau ia berkaitan PDRM (Polis Diraja Malaysia) ia dalam bidang kuasa kita, jika berkaitan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tentu mereka siasat,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media selepas menerima sesi taklimat Kementerian Dalam Negeri (KDN) oleh Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di Kompleks KDN, di sini pada Selasa.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pernah dibangkitkan bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 November lepas.

Semalam juga, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, beliau tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini.

Sementara itu, mengulas sama ada PDRM akan membuka kertas siasatan ke atas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan politik wang semasa Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum ini, beliau berkata ia akan disiasat jika mempunyai asas kukuh.

“Saya percaya tentang tahap profesionalisme pasukan polis, saya berikan sepenuh ruang dan kebebasan kepada Acryl dan pasukannya,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa digesa supaya menyiasat kenyataan Muhammad Sanusi berhubung penyokong parti Perikatan Nasional (PN) yang menuntut ganjaran kerana pulang mengundi.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh membuka ruang salah faham atau membangkitkan sentimen yang mengancam kehidupan harmoni dalam negara.

Terdahulu Saifuddin Nasution tiba dan mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasminya di kementerian itu pada 9.28 pagi sebelum diberi taklimat pengurusan KDN yang disampaikan oleh Wan Ahmad Dahlan. – Bernama.