Lebuhraya Taiping-Banting beroperasi sepenuhnya 2025

in Edisi by

Izham

SHAH ALAM – Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Taiping-Banting dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, penyiapan terakhir melibatkan jajaran Seksyen 7 di Persimpangan Tanjong Karang.

“(Pada masa ini) kemajuan keseluruhan projek WCE yang berakhir 25 September lalu adalah 82.51 peratus,” katanya semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Mohd Imran Tamrin mengenai tempoh WCE siap sepenuhnya.

Menjawab tentang situasi pengambilan tanah untuk jajaran itu, Izham memberitahu, sebanyak 178 lot tanah terlibat untuk pengambilan bagi pembinaan Seksyen 7B.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 160 lot telah menerima borang K, dan baki enam lot lagi masih menunggu peruntukan daripada WCE dan satu lot dalam proses pembayaran setelah menerima peruntukan daripada WCE pada 29 September lalu,” kata beliau.

Jelas beliau, baki 10 lot lagi adalah melibatkan empat lot TDK, tiga lot terlibat dengan penarikan semula, satu lot tanah kerajaan dan dua lot terlibat dengan permohonan baru.

Beliau memberitahu, kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan 5 (FR5) telah dilaksanakan bermula pada 21 Mac 2016 dan siap dilaksanakan pada 26 Mac lalu.