Negeri Sembilan lancar dua dokumen utama

in Edisi by

Aminuddin (empat kiri) bersama kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan menunjukkan dokumen berkenaan pada majlis itu pada Selasa.

PORT DICKSON – Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan dua dokumen utama melibatkan Dokumen Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021 – 2025 (RPNS 2021-2025) dan Dokumen Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 (PEDNS 2027) pada Selasa.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia bagi menggariskan pelaksanaan dasar pembangunan semua sektor ekonomi dan pelan tindakan untuk merancakkan pembangunan ekonomi digital di seluruh negeri ini sehingga 2027.

” Kerangka RPNS 2021–2025 dibentuk supaya komprehensif dan menjadi faktor kepada kemajuan ekonomi setempat yang memanfaatkan sepenuhnya sumber tempatan, mengurangkan jurang perbezaan kualiti hidup penduduk bandar dan luar bandar.

” Ia juga memperkasakan infrastruktur, kemudahan sokongan, kesinambungan dan akses kepada teknologi dan perkembangan dunia semasa dan memperkasakan modal insan tempatan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri,” katanya pada majlis pelancaran dokumen itu pada Selasa di sini.

Ujarnya, RPNS 2021-2025 menyediakan hala tuju intervensi dasar yang melangkaui 2025, sebahagian intervensi dasar adalah bersifat jangka panjang seperti pembangunan dan pengoperasian aktiviti ekonomi pemangkin di wilayah Malaysia Vision Valley (MVV 2.0).

“Dokumen RPNS 2021-2025 mengandungi 13 bab yang dibahagikan kepada tiga tema dan disokong oleh dua pemangkin dasar sebagai panduan ke arah perubahan signifikan struktur ekonomi Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Perunding Kajian Roland Berger juga telah menyediakan Dokumen Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan (PEDNS) 2027 sebagai pelan tindakan di peringkat negeri berpandukan kepada Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM).

“Matlamat utama penyediaan PEDNS 2027 adalah bagi memastikan pelaksanaan Blueprint RTEDM di peringkat Nasional dijajarkan dengan sebaiknya di peringkat negeri sekali gus membuka ruang dan peluang kepada semua golongan masyarakat di Negeri Sembilan.

“Pelan ini akan dijadikan sebagai rujukan dalam menetapkan sasaran pencapaian negeri bagi tempoh lima tahun akan datang melalui penetapan bidang keutamaan sejajar dengan hala tuju Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan termasuk Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) dan perancangan lain yang dikenal pasti,” katanya.

Katanya, sasaran terpilih melalui RPNS 2021-2025 antaranya adalah pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus berbanding pencapaian 2016-2019 sebanyak 2.6 peratus dan KDNK Per Kapita sebanyak RM46,534 berbanding pencapaian 2016-2019 sebanyak RM41,079.

“Manakala sasaran kita dalam bidang ekonomi digital menjelang tahun 2027 antaranya adalah untuk mentransformasikan perkhidmatan kerajaan kepada 100 peratus perkhidmatan digital.

“Selain itu, meningkatkan pendapatan per kapita rakyat negeri kepada melebihi RM50,000 dan meningkatkan literasi digital dalam masyarakat sekaligus mencapai lebih daripada 10 peratus aktiviti dalam talian melibatkan aktiviti ekonomi digital atau seumpamanya,” katanya.