Perbincangan pelantikan timbalan menteri bermula minggu ini

in Nasional by

Rafizi ketika sidang media selepas merasmikan Kick-Off Conference Kajian Separuh Penggal RMK12, pada Selasa.

PUTRAJAYA – Proses perbincangan bagi pelantikan timbalan menteri di setiap kementerian telah mula dilakukan pada minggu ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, perkara mengenai isu tersebut juga dibincangkan secara ringkas dalam mesyuarat kabinet yang berlangsung pada Isnin.

Proses itu sama seperti yang kita gunakan untuk membentuk kabinet iaitu ada beberapa peraturan tertentu dari segi berapa jumlah timbalan menteri daripada gabungan tertentu.

“Ia akan bergantung kepada jumlah sumbangan ahli Parlimen masing-masing,” katanya ketika sidang media Kick-Off Conference Kajian Separuh Penggal RMK12, di sini pada Selasa.

Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menentukan portfolio yang dirasakan sesuai dan terpulang kepada gabungan masing-masing bagi melakukan pencalonan nama.

Katanya, menerusi nama diberikan itu, Perdana Menteri kemudiannya akan melihat kesesuaian, kepakaran dan pengalaman bersama kementerian terbabit sebelum ia dibawa ke Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diperkenankan.

“Jadi saya rasa proses itu akan berlaku minggu ini dan dijangkakan akan mengambil masa antara seminggu ke dua minggu,” jelas beliau.