Perhimpunan Agung UMNO tangguh ke Januari

in Politik by

Ahmad Maslan

SHAH ALAM – Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember ini ditangguhkan ke Januari tahun depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas majoriti Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju ia dilaksanakan pada 11 hingga 14 Januari nanti.

“Oleh kerana 21 hingga 24 Disember ini adalah waktu cuti sekolah dan ramai perwakilan yang ingin bercuti hujung tahun ke merata tempat, maka Perhimpunan Agung UMNO 2022 adalah ditangguhkan.

“Tarikh baru ialah pada 11 hingga 14 Januari 2023. Notis akan dihantar secara rasmi tidak lama lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Ahli MKT, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO kali ini tidak akan melibatkan pemilihan sebaliknya diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) seperti ditetapkan dalam pindaan Perlembagaan parti itu.