RM3.2 juta laksana program insentif tingkat hasil padi

in Edisi Johor by

Gambar hiasan – Foto 123RF

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta dalam melaksanakan enam program insentif peningkatan hasil padi kepada pesawah secara individu mahu pun secara berkelompok.

Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, kesemua insentif berkenaan merangkumi pengapuran tanah sawah dan input tambahan, peralatan tanah sawah, program mekanisasi, pembaikan infrastruktur sawah, pengurusan air sawah dan kawalan bersepadu serta pengurusan tanah dan pembajaan.

“Biarpun secara umum keluasan sawah padi di Johor adalah kecil berbanding dengan negeri-negeri lain seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, namun kerajaan negeri Johor tetap menjadikan agenda pembangunan ‘Periuk Nasi Selatan’ ini sebagai keutamaan dalam Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor.

“Walaupun sawah padi di Johor ini dikategorikan sebagai sawah luar jelapang, namun kerajaan negeri Johor tetap fokus bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi,” katanya.

Zahari berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Selamat Takim (Sungai Balang) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Selasa.

Secara umumnya, Johor mempunyai 10 kawasan tanaman sawah padi dengan keluasan berjumlah 2,254.39 hektar melibatkan daerah Tangkak dengan lima sawah seluas 842.97 hektar, Muar (satu sawah 364.22 hektar), Mersing (dua sawah, 549.38 hektar), Batu Pahat (satu sawah, 141.70 hektar) dan satu sawah lagi di Kluang dengan keluasan 356.12 hektar melibatkan seramai 875 pesawah di seluruh Johor.

Bagaimanapun pada 2021, purata hasil dan pengeluaran padi di Johor didapati melepasi standard purata nasional yang ditetapkan iaitu 3.2 tan/hektar dengan mencatatkan hasil sebanyak 30.1 peratus berbanding 2020/2021 lalu.

Sementara itu Zahari berkata, peningkatan hasil padi pada 2021 dilihat sebagai hasil daripada komitmen petani dalam soal pengurusan sawah selain pelaksanaan insentif projek pembangunan sawah padi yang dilaksanakan.

“Bagi 2020/2021 pengeluaran padi adalah sebayak 4,746 tan dan ia meningkat kepada 6,225 tan pada musim utama 2021/2022.

“Peningkatan ini disebabkan faktor komitmen petani dalam pengurusan sawah yang lebih teratur dan sistematik selain faktor pelaksanaan insentif projek pembangunan sawah padi ‘Periuk Nasi Selatan’ sebagaimana yang dinyatakan tadi,” katanya.