Ronaldo sertai Al-Nassr, terima bayaran tertinggi

in Sukan by

Ronaldo akan menyertai Al-Nassr menerusi nilai kontrak tertinggi Januari depan. Foto EPA

BINTANG sensasi, Cristiano Ronaldo mencapai persetujuan muktamad untuk menyertai Al-Nassr Januari ini, lapor media Sepanyol.

Kapten skuad Portugal itu sedang mencari kelab baharu selepas kontraknya bersama Manchester United ditamatkan bulan lalu.

Skuad Red Devils bertindak pantas menamatkan perjanjian bersama Ronaldo yang bernilai lebih £500,000 (RM2.67 juta) seminggu dan masih berbaki tujuh bulan sebagai tindak balas komennya ketika ditemubual Piers Morgan kerana mengkritik Erik ten Hag dan pemilik kelab.

Marca minggu lalu melaporkan bahawa Ronaldo sudah menerima tawaran kontrak bernilai £432 juta (RM2.3 bilion) dari Al-Nassr.

Akhbar Sepanyol itu mendakwa Ronaldo sudah mencapai persetujuan muktamad dengan kelab Arab Saudi dan akan menyertai kelab itu 1 Januari ini.

Pemenang Ballon d’Or lima kali berusia 37 tahun itu akan menandatangani kontrak selama dua setengah tahun bernilai £173 juta (RM924.6 juta) setiap musim.

Menurut senarai Forbes 2022, perpindahan itu akan menjadikan Ronaldo sebagai pemain yang menerima bayaran tertinggi di dunia.

Ia mendahului Lionel Messi, £105m (RM561.2 juta) di Paris Saint-Germain (PSG) tahun ini dan pemain Los Angeles Lakers, LeBron James, yang menerima £98 juta (RM523.8 juta).

Al-Nassr merupakan salah sebuah pasukan paling berjaya di Arab Saudi setelah memenangi kejuaraan liga sembilan kali.

Ronaldo mendesak untuk meninggalkan United sejak musim panas, tetapi ejennya gagal menemui kelab baharu walaupun berbincang dengan beberapa pasukan terkemuka Eropah termasuk Chelsea, Bayern Munich dan PSG.