Satu aduan telur kotor dilapor di Johor – Exco

in Nasional by

Lee Ting Han

ISKANDAR PUTERI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Johor, menerima satu aduan membabitkan penjualan telur kotor yang mengelirukan pengguna dilaporkan berlaku di daerah Johor Bahru baru-baru ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, peniaga terlibat telah dipanggil bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Terdapat sekurang-kurangnya dua kes telur kotor yang tular di media sosial dikesan sejak beberapa hari lalu.

“Satu aduan rasmi berhubung telur kotor berlaku di Johor Bahru sudah diterima. Siasatan sedang dilakukan sama ada aduan berkenaan benar atau sebaliknya.

“Pengadu mendakwa membeli telur kotor kerana sukar mendapatkan telur ayam gred kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi soal jawab lisan, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Isnin.

Ting Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, permintaan telur ayam gred kawalan di negeri ini dilaporkan mengalami peningkatan secara mendadak.

Jelasnya, Johor merekodkan pengeluaran telur ayam pelbagai gred sebanyak 10 hingga 12 juta telur seminggu.

“Kerajaan mengawal harga bagi telur ayam gred A, B dan C, masing-masing dijual dengan harga 45 sen sebiji, 43 sen dan 41 sen.

“Telur ayam kawalan menjadi pilihan kerana harganya lebih rendah berbanding telur ayam jenis premium atau omega yang bukan di bawah kawalan.

“Selain itu, permintaan telur daripada industri terutama bakeri membabitkan pembuatan roti dan kek turut dilaporkan meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Ting Han berkata, KPDNKSH Johor akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam usaha meningkatkan lagi pembekalan telur dan ayam di dalam pasaran.