'Semua pemain berjuang sepenuh jiwa'

in Sukan by

Reaksi Heung-min selepas perlawanan pusingan 16 Piala Dunia Qatar 2022 antara Brazil dan Korea Selatan di Stadium 974, Doha. Foto: EPA

KAPTEN Korea Selatan, Son Heung-min mempertahankan persembahan Taegeuk Warriors selepas kekalahan kepada Brazil dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 di Qatar pada awal pagi Selasa.

Sebaliknya bintang kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur itu mengakui bahawa pasukan dari Asia tersebut tidak cukup bagus menyaingi gergasi bola sepak dunia berkenaan.

“Kami telah melakukan yang terbaik tetapi ia adalah perlawanan yang amat sukar. Semua pemain berjuang sepenuh jiwa dengan bangga untuk mencapai tahap ini. Tidak ada keraguan dalam fikiran saya tentang dedikasi dan pengorbanan semua orang.

“Saya hanya boleh memohon maaf kepada peminat kami kerana tidak memenuhi jangkaan mereka.

“Tetapi saya harap mereka semua memahami situasi kami. Semua orang dalam pasukan melakukan yang terbaik untuk membuat persiapan bagi perlawanan ini,” kata Heung-min.

Perlawanan di Stadium 974, Doha itu menyaksikan Selecao mengakhiri cabaran Taegeuk Warriors dengan kemenangan 4-1, dengan keempat-empat gol Brazil dijaringkan pada separuh masa pertama, manakala gol saguhati Korea Selatan dijelmakan di separuh masa kedua.