Serangan dron sasar lapangan terbang Rusia

in Global by

Lapangan Terbang Engels di wilayah Saratov menempatkan beberapa pesawat gergasi milik Rusia. – Foto: Agensi

MOSCOW – Sebuah dron telah menyerang lapangan terbang di wilayah Kursk, Rusia bersempadan Ukraine, menurut Gabenor Roman Starovoyt pada Selasa, sehari selepas Moscow menuding jari menyalahkan Kiev atas serangan sama dua kemudahan lain.

“Serangan itu mengakibatkan sebuah tangki simpanan minyak terbakar, namun tiada kematian dilaporkan,” ujarnya di media sosial sambil menambah pasukan bomba berhempas-pulas mengawal kebakaran.

Starovoyt bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci dari mana dron itu dilancarkan.

Pada Isnin, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa Ukraine cuba menyerang lapangan terbang Dyagilevo di wilayah Ryazan dan lapangan terbang Engels di wilayah Saratov dengan dron buatan Soviet.

“Dron itu berjaya dipintas. Sekurang-kurangnya tiga anggota tentera terbunuh manakala empat yang lain cedera dalam kejadian tersebut,” jelas kementerian itu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia dilaporkan melancarkan gelombang serangan udara terbaharu di kawasan tenggara dan turut menyebabkan bekalan elektrik terputus setelah Moscow menyasarkan grid kuasa utama di bawah taktik baharu operasi yang bertujuan untuk melumpuhkan Kiev. – AFP