Syihan kunci mulut isu perpindahan ke JDT

in Sukan by

Syihan (tengah) bersama rakan sepelatih ketika menjalani kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM. FOTO: Football Association of Malaysia

PENJAGA gol sensasi negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed memilih untuk mengunci mulut mengenai destinasi baharunya musim depan biarpun kini hangat dikaitkan dengan perpindahan ke juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bekas pemain Negeri Sembilan FC berusia 26 tahun itu berkata, sehingga hari ini terdapat sekurang-kurangnya tiga pasukan telah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun, beliau berkata fokus kini tertumpu kepada tugasan bersama pasukan negara yang bakal mengharungi saingan Piala AFF 2022 dari 20 Disember hingga 16 Januari depan.

“Mengenai destinasi saya tidak boleh beritahu, tunggu keputusan yang akan diumumkan (bakal kelab). Saya sekarang hanya fokus kepada pasukan kebangsaan dan Piala AFF.

“Saya sasarkan musim depan untuk jadi lebih baik, tingkatkan (usaha baiki) kekurangan dan saya akan bagi lebih lagi daripada tahun ini,” katanya ketika ditemui pada kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Wisma FAM pada Selasa.

Pada masa sama, Syihan tidak menolak kemungkinan bakat dan potensinya dapat dikembangkan sehingga mencapai tahap terbaik sekiranya berada di kelab yang tepat, namun menyerahkan segalanya kepada takdir.

“Bagi saya (tentang) pilihan kita kena pilih mana lebih baik dan yang mana boleh bagi ilmu lebih mendalam lagi supaya dapat majukan karier kita. Minit permainan penting tapi atas diri masing-masing juga.

“Kalau dalam latihan kita main-main, apabila hari perlawanan tidak menjadi juga, jadi dalam latihan kena bagi 100 peratus dan dalam perlawanan juga perlu bagi yang sama,” katanya.

Negeri Sembilan sebelum ini mengumumkan Syihan meninggalkan kelab itu selepas bersama dengan pasukan sejak 2018 sebelum menyertai Petaling Jaya (PJ) City FC dan kembali mewakili pasukan itu musim ini.

Nama Syihan mula dikaitkan dengan perpindahan ke JDT selepas beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan terutama ketika berdepan Thailand dan Tajikistan pada kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai, September lalu.

Ketangkasan beliau pada kejohanan empat penjuru itu mendapat pujian secara meluas daripada peminat serta pemerhati bola sepak tempatan sehingga ada yang beranggapan beliau layak diberi tanggungjawab sebagai penjaga gol utama pasukan negara.

Posisi itu lebih kerap digalas penjaga gol berpengalaman Farizal Marlias, namun penjaga gol nombor satu JDT berusia 36 tahun itu tidak disenaraikan dalam kempen Piala AFF 2022.