Tujuh daripada 10 rakyat Malaysia menyimpan kurang RM500 sebulan

in Nasional by

Seramai tujuh daripada 10 rakyat Malaysia didapati menyimpan kurang daripada RM500 sebulan atau tidak menyimpan langsung, yang disifatkan paling teruk dalam tempoh lima tahun. – Foto 123RF

SHAH ALAM – Seramai tujuh daripada 10 rakyat Malaysia didapati menyimpan kurang daripada RM500 sebulan atau tidak menyimpan langsung, yang disifatkan paling teruk dalam tempoh lima tahun.

Data itu adalah sebahagian hasil tinjauan celik kewangan RinggitPlus Malaysia 2022 yang dikeluarkan pada Selasa, melibatkan 3,144 responden berumur 18 tahun ke atas daripada semua lapisan masyarakat.

Dapatan daripada kajian itu juga menunjukkan hanya lima peratus rakyat negara ini menyimpan lebih daripada RM1,500 sebulan, turun 15 peratus berbanding 2021 dan 20 peratus pada 2020.

Selain itu, kesempitan kewangan bagi majoriti rakyat Malaysia dilihat semakin teruk, yang mana mereka menghadapi masalah kewangan, isu aliran tunai, kehabisan simpanan yang diburukkan dengan pandemik Covid-19 dan inflasi yang tinggi.

Sejumlah 63 peratus responden menyatakan mereka kini bergelut untuk bertahan dengan simpanan hanya boleh bertahan tiga bulan atau kurang, berbanding hanya 51 peratus pada tahun sebelumnya.

Lebih membimbangkan, 82 peratus daripada mereka berpendapat simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka tidak mencukupi.

Daripada jumlah itu, 41 peratus pula menyatakan mereka tidak bersedia untuk hari tua manakala 66 peratus akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan dana jika KWSP membenarkannya.

Menyentuh mengenai aspek pelaburan pula, 52 peratus daripada mereka yang berumur 18 tahun ke atas belum mula melabur manakala daripada mereka yang mempunyai pelaburan, 52 peratus daripada responden memilih risiko yang agak rendah.

Dalam kumpulan yang sama, 50 peratus daripada mereka memilih pelaburan jangka sederhana lima hingga 10 tahun dengan tiga pelaburan pilihan utama adalah unit amanah, saham dan mata wang kripto.

Bagi pemegang kad kredit pula, hanya 55 peratus daripadanya membayar bil sepenuhnya setiap bulan, 18 peratus pula membayar jumlah minimum dan 27 peratus lagi membayar jumlah yang mereka mampu pada masa itu.

Sementara itu, Pengasas bersama RinggitPlus, Hann Liew berkata, Covid-19 memberikan kesan kewangan yang besar dan dapatan tinjauan yang dilakukan mengesahkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai cabaran kewangan sebenar untuk ditangani.

“Realiti ini adalah keras, bukan sahaja untuk rakyat tetapi juga untuk penggubal dasar dan pemain industri.

“Ini adalah isu generasi yang memerlukan penyelesaian jangka panjang dengan sokongan yang berterusan dan konkrit daripada semua pihak. Kita tidak boleh meninggalkan sesiapa pun dalam hal ini,” jelasnya.