ZPP hargai peranan jawatankuasa kariah

in Edisi Utara by

Mohamad Kairi (kiri) menyerahkan replika cek Skim Saguhati Jawatankuasa Kariah kepada Ahmad Zakiyuddin pada majlis yang diadakan di Seberang Jaya.

SEBERANG JAYA – Seramai 808 pegawai dan ahli jawatankuasa kariah di negeri ini menerima saguhati secara ‘one off’ yang keseluruhannya bernilai RM403,600 daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyudin Abdul Rahman berkata, dana bantuan agihan fi sabilillah berjumlah RM416,000 turut disalurkan bagi peruntukan elaun Mesyuarat Jawatankuasa Kariah.

Menurutnya, jawatankuasa kariah ini berperanan penting dalam membantu MAINPP dalam mentadbir kariah di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Hubungan jawatankuasa kariah dengan ZPP terjalin dengan begitu baik hasil kerjasama yang erat dalam pelaksanaan tugas sebagai Ahli Lembaga Zakat Fitrah.

“Jawatankuasa ini bukan sekadar mengutip zakat fitrah bahkan turut serta dalam mengenal pasti golongan asnaf di kariah dan mengagihkan zakat fitrah kepada golongan yang berhak menerima.

“Justeru itu, ZPP sebagai sebuah institusi mengurus dana zakat akan menyalurkan Skim Saguhati Jawatankuasa Kariah yang banyak menyumbang bakti kepada masyarakat Islam di Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Penyerahan Saguhati Jawatankuasa Kariah Negeri Pulau Pinang Tahun 2022, di sini pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi ZPP, Mohamad Kairi Ghazali.

Sementara itu, Mohamad Kairi dalam ucapan aluannya berkata, sumbangan sagu hati ini sedikit sebanyak dapat menjadi pemangkin dan motivasi kepada kariah yang berhadapan dengan tugas yang sememangnya mencabar sepertimana yang diamanahkan oleh MAINPP.

Beliau berharap dengan komitmen yang diberikan oleh jawatankuasa kariah ini akan berterusan dalam membantu Zakat Pulau Pinang untuk meningkatkan jumlah pembayar zakat agar kefarduan zakat ditunaikan oleh masyarakat Muslim di Pulau Pinang.

“Sokongan semua jawatankuasa kariah ini dapat membantu dan menyokong kempen ZPP dengan menghebah dan mempromosikan kewajipan zakat kepada masyarakat Islam.

“Hebahan daripada tuan-tuan juga merupakan medium paling ampuh untuk mendekatkan ZPP di hati masyarakat Muslim di Pulau Pinang,” katanya.