Aaron-Wooi Yik mula langkah kiri hari pertama

in Sukan by

Aaron Chia-Soh Wooi Yik – Foto FB Badminton Association of Malaysia – BAM

JUARA dunia beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyingkap kempen Kumpulan B Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok dengan langkah kiri pada Rabu.

Gandingan juara dunia itu tewas kepada beregu ranking keenam dunia dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 12-21, 15-21 di Nimibutr Arena dalam tempoh 32 minit.

Beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga akur kehebatan gandingan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Naib juara Terbuka Australia tersebut tewas 19-21, 16-21 kepada beregu ranking pertama dunia dalam aksi Kumpulan A yang mengambil masa 39 minit.

Beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie juga memulakan kempen Kumpulan A dengan akur kehebatan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia, 12-21, 15-21 dalam masa 35 minit.

Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa akur tewas 21-23, 19-21 kepada gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Pearly-Thinaah yang kini menduduki ranking kesembilan dunia berdepan laluan mencabar apabila diundi dalam ‘kumpulan maut’ pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF kali ini.

Mereka diundi dalam Kumpulan B bersama dua wakil China iaitu juara dunia tiga kali, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dan beregu nombor tujuh dunia, Zhang Shu Xian-Zheng, selain pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva.

Sementara itu, beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menyingkap cabaran Kumpulan B dengan mengejutkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dongping.

Kian Meng-Pei Jing yang kini berstatus nombor lima dunia berjaya menjinakkan gandingan nombor tiga dunia itu menerusi kemenangan rubber set 23-21, 14-21, 21-16 dalam masa 61 minit.

Kian Meng-Pei Jing diundi dalam Kumpulan B bersama dua beregu tuan rumah – Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran, selain Yi Lyu-Dong Ping.

Nasib berbeza pula dialami beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin yang mengakhiri kempen hari pertama dengan kekalahan 18-21, 13-21 kepada pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dalam aksi Kumpulan A.

Selain Na Eun-Hye Jeong, Vivian-Chiew Sien diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dua beregu Thailand – Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.