Bukti rakyat boleh terima gabungan BN-PH

in Politik by

Wan Rosdy

ROMPIN – Kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan rakyat boleh menerima gabungan parti BN dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerimaan rakyat terhadap gabungan parti blok BN dan PH telah diterjemahkan rakyat selepas calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti 573 undi.

“Sudah tentu rakyat boleh menerima (gabungan BN-PH) khususnya di DUN Tioman. Kalau tidak mana mungkin kita boleh menang. Ini bermakna mereka boleh menerima secara dengan rasionalnya.

“Saya sudah jelaskan beberapa kali bahawa kerajaan harus ditubuhkan supaya membolehkan kerajaan melaksanakan tugas dan jika tergantung ia akan merugikan rakyat,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah Rompin.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy menyatakan kuota Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Pauang telah lengkap diisi dan Mohd Johari akan menggalas jawatan dan memelihara kesejahteraan rakyat di DUN Tioman.

Sementara itu, Johari menyatakan, manifestasi kerjasama BN dan PH ini telah membawa satu kerjasama erat demi kestabilan politik dan ekonomi serta perpaduan kaum dalam Kerajaan Negeri Pahang.

BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Tioman dengan majoriti tipis 638 undi sahaja.

Johari berjaya menumpaskan empat calon pesaing lain sekali gus, kekal mempertahankan DUN Tioman selama empat penggal berturut-turut.

PRU15 di DUN Tioman menyaksikan Johari memperoleh 8,077 undi manakala pencabar terdekatnya calon Perikatan Nasional (PN), Noor Idayu Hashim, 7,439.

Calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang diputuskan untuk memberi laluan kepada BN tetap mendapat 791 undi.

Manakala calon Pejuang, Osman Bakar memperoleh 82 undi dan calon Bebas, Sulaiman Bakar sekadar memperoleh 60 undi.

Kemenangan Johari ini menyumbang kerusi ke-17 buat BN Pahang yang seri dengan kerusi PN.