Isu judi: Anwar didakwa ingin dilihat relevan Melayu-Islam

in Nasional by

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar dalam : Idris

SHAH ALAM – Pas mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berulang kali mengaitkan Perikatan Nasional (PN) selepas mengumumkan penurunan kadar cabutan khas judi daripada 22 kepada lapan kali kerana ingin dilihat relevan dalam kalangan umat Melayu-Islam di negara ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, ia susulan Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya kurang mendapat sokongan daripada golongan majoriti di Malaysia.

“Isu judi bukanlah isu picisan. Isu ini sangat menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam kerana kegiatan judi merupakan satu dosa besar serta ibu kerosakan sesebuah masyarakat.

“Berhubung kenyataan sinikal Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang PN perihal saluran dana politik oleh tauke-tauke judi ini sebenarnya perlu dilihat pada mesej utamanya iaitu keuntungan yang diperoleh oleh tauke-tauke judi ini begitu tinggi sehinggakan mereka mampu menaja parti-parti politik.

“Perkara ini perlu diberi perhatian dan diselidiki secara serius. Malah, perkara ini bukan sesuatu perkara yang baharu. Datuk Nallakaruppan yang merupakan bekas pengarah Magnum pernah mendakwa telah memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada Isnin lalu, Anwar mengumumkan kekerapan cabutan khas perjudian kembali diturunkan kepada lapan kali setahun mulai Januari tahun depan.

Sementara itu, Idris berkata, Pas juga sedia menawarkan diri untuk membantu negeri ditadbir PH yang berhasrat untuk melaksanakan polisi pengharaman judi seperti mana yang dilaksanakan negeri di bawah pentadbiran PN-Pas ketika ini.

“Amat baik sekiranya isu-isu ini diselesaikan dengan setiap negeri PH-BN mengikut jejak langkah negeri-negeri Pas-PN yang telah mengharamkan terus penggunaan premis untuk kegiatan judi.

“Pastinya perkara ini akan menarik sokongan lebih tinggi pengundi Melayu-Islam kepada pihak kerajaan,” katanya.