JTK -MPKu serius tangani masalah ditimbulkan pekerja asing

in Edisi Johor by

Mohd Hairi
ISKANDAR PUTERI – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sedang mengatasi masalah kacau ganggu ditimbulkan pekerja asing terutama di kawasan perumahan pekerja asing yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk setempat.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, operasi penguatkuasaan yang dijalankan adalah berdasarkan aduan diterima dan juga pemantauan secara berkala dijalankan.

“Isu-isu kacau ganggu kebiasaannya adalah berkenaan bunyi bising, pergaduhan, kebersihan dan lain-lain. Data statistik berkenaan isu kacau ganggu ini boleh dirujuk dengan lebih lanjut kepada MPKu.

“Pihak JTK mengambil serius isu kacau ganggu yang berlaku di penginapan pekerja. Akta Standard-Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 menggariskan bahawa majikan perlu mematuhi kriteria-kriteria yang perlu diambil kira dalam pemilihan penempatan pekerja.

‘Ini termasuk mematuhi peraturan undang-undang lain yang berkaitan contohnya undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fuad Tukirin (BN-Bukit Naning) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail (BSI), Kota Iskandar, di sini pada Rabu.

Mohd Fuad mempersoal usaha dilakukan bagi menangani isu pekerja asing yang banyak menimbulkan masalah moral selain keselamatan jalan raya turut diabaikan golongan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata, bagi isu keselamatan jalan raya pula, pihaknya yakin majikan juga memainkan peranan dalam memberi pendedahan kepada pekerja-pekerjanya berkaitan aspek keselamatan.

“Keselamatan dan kesihatan tidak terbatas di tempat pekerjaan sahaja tetapi ia perlu diperluaskan di kawasan penginapan, pada waktu pergi dan pulang dari tempat pekerjaan serta sekitar tempat pekerjaan.

“Ia berikutan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga menyatakan bahawa dua daripada tiga kemalangan maut yang berlaku setiap hari adalah berpunca daripada kemalangan individu yang berulang alik ke tempat kerja,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam memastikan penyediaan penempatan khas bagi pekerja asing, pihaknya juga akan berbincang dengan PBT.

“Saya akan berbincang dengan PBT sama ada terdapat tanah yang sesuai dijadikan sebagai penempatan bagi kumpulan warga asing berkenaan dalam usaha menangani masalah kacau ganggu dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan R Vidyananthan (BN-Kahang).

Vidyananthan mempersoal langkah jangka panjang yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah pekerja asing biarpun pelbagai langkah dilakukan, namun masalah pekerja asing tiada kesudahan.