Kekurangan bekalan telur di Johor tidak kritikal: Exco

in Edisi Johor by

Gambar hiasan – Foto BernamaZahari Sarip

ISKANDAR PUTERI – Johor tidak mengalami masalah kekurangan bekalan telur ayam yang kritikal ketika ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, kekurangan bekalan yang berlaku hanya disebabkan permintaan eksport ke Singapura selain menghantar bekalan ke pasaran di Melaka dan Negeri Sembilan.

“Isu telur, Johor kita sebenarnya tidak menghadapi kekurangan kritikal, bekalan memang kurang tetapi tidak kritikal sebab Johor merupakan antara pengeluar telur besar juga (dalam negara).

“Cuma kita maklum kebanyakan dieksport ke Singapura, dan negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan, sebab itu nampak kekurangan, tetapi daripada segi pengeluaran tidaklah berkurangan, cuma permintaan lebih sebab perlu penuhi eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail (HSI) Kota Iskandar di sini pada Rabu.

**media[2013869]**

Dalam perkembangan lain, Zahari berkata, kerajaan negeri tidak berdepan masalah bekalan makanan melibatkan hasil laut dan juga tanaman walaupun berdepan musim tengkujuh bermula November lalu.

Katanya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga persatuan usahawan tani memaklumkan bekalan mencukupi walaupun berlaku pengurangan kutipan hasil khususnya akibat musim tengkujuh bulan lalu.

Beliau memberitahu, jumlah pendaratan ikan yang direkodkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada September adalah 3,065 tan metrik.

Menurutnya, trend penurunan pendaratan ikan di empat Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga menunjukkan bahawa faktor angin kencang dan laut bergelora menyebabkan kadar pendaratan menurun iaitu sebanyak 542 tan metrik pada Oktober berbanding dengan 754 tan metrik pada September.

Katanya, berdasarkan pemantauan di pasaran runcit yang dijalankan di beberapa lokasi pasar utama, harga ikan di Johor masih stabil.

“Situasi sama turut melibatkan hasil pertanian seperti sayur-sayuran, di mana ada beberapa kawasan penanaman terjejas akibat hujan lebat namun tidak menjejaskan permintaan bekalan ketika ini,” jelasnya.