Lubnan tahan rakyat sendiri jadi tali barut Israel

in Global by

Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menjadi perisik Israel. – Agensi

BEIRUT – Pihak berkuasa Lubnan menahan 185 orang selepas disyaki bekerjasama dengan Israel sejak kejatuhan ekonomi tiga tahun lalu sehingga menyebabkan orang ramai terdesak mendapatkan wang tunai.

Menurut dua sumber keselamatan, jumlah tersebut telah meningkat berbanding sebelum ini dengan purata tangkapan empat hingga lima orang setahun.

“Ini kali pertama begitu ramai orang telah ditangkap kerana bekerjasama dengan Israel dan ini akibat krisis,” katanya dengan nama enggan dikenali.

Lubnan dilanda krisis kewangan dan ekonomi teruk sejak 2019 yang menyaksikan kejatuhan mata wang negara dan menyebabkan bank membekukan deposit dan menjerumuskan rakyat dalam paras kemiskinan teruk.

“Ini adalah satu ‘rahmat’ kepada Israel yang menyasarkan orang Lubnan di media sosial dengan menawarkan iklan pekerjaan di syarikat tidak pernah wujud,” kata sumber kedua.

Katanya, seorang perekrut akan menghubungi pemohon dan setengah daripada mereka tidak tahu dihubungi agensi pengintip Israel. – AFP