Pasangan kembar teruja kongsi pentas konvokesyen

in Edisi Selangor KL by

Nur Arafiqah (kiri) dan Nur Araziemah bergambar selepas Istiadat Konvensyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-38 pada Rabu.

GOMBAK – Pasangan kembar seiras teruja dapat berkongsi pentas bagi meraikan majlis graduasi merekaa pada Istiadat Konvensyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-38 pada Rabu.

Nur Araziemah Amat dan Nur Arafiqah Amat, 25, yang menamatkan pengajian dalam bidang pergigian itu merupakan antara graduan yang diraikan pada majlis yang berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 Disember.

Nur Araziemah berkata, kejayaan yang dicapai pada hari ini akan menjadi hadiah paling berharga kepada kedua ibu bapa mereka.

“Ibu dan bapa sebagai sumber inspirasi kami untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains terutama pergigian. Ibu merupakan seorang guru biologi dan bapa adalah pesara doktor vaterinar.

“Ini adalah hadiah paling bermakna dan berharga yang boleh kami hadiahkan kepada mereka kerana menjaga dan membesarkan kami,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya cabaran sepanjang pengajian, Nur Araziemah berkata, mereka berdua terkesan ketika Perinitah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak dapat memenuhi tuntutan silibus pembelajan susulan sekatan tersebut.

“Kami tidak dapat jalankan latihan pemeriksaan kepada orang awam iaitu pesakit. Jika tiada pesakit bermakna tiada latihan klinikal dan kami risau perjalanan untuk menamatkan pengajian akan jadi lebih lama.

“Alhamdulillah apabila keadaan kembali seperti sedia kala, kami dapat lakukan latihan klinikal dan beri khidmat kepada para pesakit dengan tunjuk ajar serta dorongan daripada pensyarah,” ujarnya.

Pasangan dari Kota Kinabalu, Sabah itu turut mengakui, mereka berdua mempunyai minat serta citarasa sama sejak kecil, bukan sahaja akademik malah hobi serta citarasa makanan.

“Sejak kecil lagi memang minat benda yang sama, termasuk sekolah tadika, sekolah rendah dan menengah. Ketika di asrama, citarasa makanan dan minuman juga sama, sebab itu kami berdua memilih bidang pengajian yang sama.

‘”Ibu dan bapa juga akan pastikan kami akan dapat sama rata, tiada lebih atau terkurang,” katanya..

Majlis konvokesyen UIAM berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 Disember melibatkan seramai 5,189 Graduan yang menerima Ijazah SarjanaMuda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).