Pelancong Thailand kini boleh guna DuitNow QR di Malaysia

in Bisnes by

Pelancong Thailand kini boleh membuat pembayaran tanpa tunai dengan eDompet masing-masing melalui Boost DuitNow QR.

SHAH ALAM – Syarikat teknologi kewangan (fintech) spektrum penuh serantau Axiata yang terkemuka, Boost dan Payments Network Malaysia (PayNet), infrastruktur rangkaian pembayaran runcit negara mengumumkan peniaga Boost kini boleh menerima pembayaran rentas sempadan daripada pelancong Thailand menerusi DuitNow QR.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, ciri transaksi lancar serba baharu ini akan merintis jalan untuk memudahkan pelancong menggunakan eDompet masing-masing untuk membuat pembayaran tanpa perlu memegang wang tunai dalam Ringgit.

Menurutnya. pelancong hanya perlu mengimbas Kod QR DuitNow Boost, yang akan mengenal pasti lokasi secara automatik semasa pengguna berada di Malaysia.

“Pengguna akan menerima permintaan untuk meletakkan nilai pembelian dalam Ringgit Malaysia (MYR), dan tukaran automatik akan dipotong daripada eDompet negara asal mereka. Bagi peniaga Boost, mereka akan terus menerima bayaran dalam MYR.

“Dalam fasa pertama, kemudahan ini akan disediakan kepada pelancong dari Thailand. Institusi kewangan Thailand yang turut serta untuk mengimbas Kod QR DuitNow Boost di Malaysia ialah CIMB Thai, Siam Commercial Bank, Bangkok Bank, Krungthai Bank dan Bank of Ayudhya.

“Di Boost, kami sentiasa mempelopori inovasi dalam penyelesaian pembayaran digital kami demi manfaat peniaga sambil menyediakan pilihan pembayaran mudah yang menyenangkan pembeli tempatan.

“Kami teruja untuk menawarkan ciri kelebihan ini kepada pelancong serantau menerusi kerjasama kami dengan rangkaian pembayaran rentas sempadan PayNet yang luas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, memandangkan musim cuti akan tiba tidak lama lagi, tawaran baharu yang menarik ini di pasaran juga disediakan kepada peniaga dengan matlamat untuk meluaskan rangkaian pelanggan mereka manakala pelancong boleh menikmati transaksi ringkas dalam mata wang sendiri dengan hampir lebih setengah juta peniaga yang menawarkan kemudahan Boost di seluruh negara.

“Kami berhasrat untuk menawarkan pembayaran QR rentas sempadan kepada pelancong Indonesia dan Singapura serta kawasan lain di liputan PayNet dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujar Abeykoon.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, syarikatnya berperanan untuk menawarkan kemudahan pembayaran digital yang lancar, mudah dicapai dan senang digunakan dengan cara yang selamat, terlindung dan cekap.

“Ini termasuk keupayaan saling kendali pembayaran runcit rentas sempadan, terutamanya antara negara-negara ASEAN. Kami teruja kerana peserta ekosistem kami, Boost, telah menyediakan kemudahan untuk pelancong dari Thailand membuat bayaran rentas sempadan menerusi Kod QR DuitNow.

“Kemudahan ini bukan sahaja membawa manfaat kepada industri pelancongan Malaysia, tetapi juga mikro perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga runcit lain yang seterusnya mengukuhkan aktiviti ekonomi dan merangsang pertumbuhan. Kerjasama ini menandakan satu permulaan yang baik, dengan kesan pengganda dan impak yang besar daripada pelaksanaan tersebut,” kata Farhan.

Hampir 200,000 peniaga yang menawarkan Kod QR DuitNow Boost boleh didapati di tempat-tempat tarikan pelancong di serata Malaysia.

Bagi menggalakkan lebih ramai peniaga mendigitalkan perniagaan dan menerima pakai kemudahan menjalankan perniagaan tanpa tunai, Boost kini bekerjasama rapat dengan Persatuan Jonker Walk di Melaka dalam usaha berterusan untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai peniaga bagi menawarkan pilihan beli-belah yang lebih luas.

Dengan kemudahan baharu ini, mereka yang masih mempertimbangkan keputusan menjadi peniaga Boost boleh menyertai kami pada hari ini dan meluaskan pelanggan di peringkat serantau.

Mereka hanya perlu mendaftar sebagai peniaga Boost dan memaparkan Kod QR DuitNow Boost. Untuk tempoh terhad, yuran untuk mengaktifkan ciri-ciri pembayaran rentas sempadan akan dikecualikan. Klik pada pautan di sini untuk maklumat lanjut tentang cara menjadi peniaga Boost.