PPj tarik 31 kenderaan terbiar

in Edisi Selangor KL by

Mohd AliAntara kenderaan tersadai yang ditarik PPj dalam operasi tersebut.

PUTRAJAYA – Sebanyak 31 buah kenderaan terbiar ditarik dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) di kuaters sekitar Putrajaya.

Pengarah Penguatkuasa PPj, Mohd Ali Jusoh berkata, tindakan itu merupakan salah satu langkah bagi mengurangkan masalah parkir yang meruncing di wilayah itu.

“Tindakan ini dibuat susulan terdapat aduan daripada penduduk mengenai kereta terbiar yang tidak lagi digunakan diletakkan di kawasan tempat letak kereta,” katanya.

“Kenderaan tersebut kebanyakannya adalah milik penghuni kuarters dan BPH telah memberikan tiga kali notis sebelum tindakan penarikan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi tersebut pada Rabu.

**media[2013789]**

Beliau berkata, kesemua kenderaan ditarik itu akan disimpan di depoh PPj bagi tempoh enam bulan bagi urusan tuntutan pemiliknya.

“Sekiranya tiada pemilik yang tampil selepas tempoh tersebut, pihak kami akan melupuskan kenderaan terbabit,” katanya.

Mohd Ali berkata, pada tahun lalu sebanyak 100 kenderaan turut dikenakan tindakan sama dan daripada jumlah itu, 60 kenderaan dilupuskan selepas pemiliknya gagal tampil membuat tuntutan.