PRU15: Ada pengundi Padang Serai tak tahu calon tarik diri

in Politik by

Pengundi dilihat sedang berbaris menunggu giliran sebelum proses pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Bukit Selarong, Padang Serai, Kedah pada Rabu.

KULIM – Beberapa pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai masih tidak mengetahui tentang dua calon kerusi itu yang menarik diri dan memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak.

Pelajar, Azieza Nour Afifah Azman Zahidi, 20, berkata sebagai pengundi kali pertama beliau sememangnya teruja untuk menunaikan tanggungjawab itu namun tidak mengetahui ada calon yang menarik diri.

Beliau yang melanjutkan pengajian di sebuah institut pengajian tinggi awam di Perak, baru pulang ke Kampung Tunku, Putra di sini pada Jumaat lepas dan tidak mendapat maklumat mengenai perkara tersebut.

“Saya tinggal di hostel tempat belajar dan tidak tengok berita sebab tiada televisyen di situ. Sekarang saya balik kampung sebab ada cuti pertengahan semester, tidak tahu pula ada calon menarik diri,” katanya.

Azieza adalah seorang daripada pengundi yang ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah di sini pada Rabu.

Selain itu, suri rumah Fauziah Desa, 58, berkata beliau yang kini menetap dalam kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu mungkin terlepas daripada mendapat maklumat dan hebahan mengenai calon yang menarik diri.

“Saya memang tak tahu ada calon tarik diri. Saya mengundi di Parlimen Padang Serai sebab dulu saya menyewa di sini, tapi tujuh anak saya semua sudah mengundi di Parlimen Kulim-Bandar Baharu sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Muhd Luqman Hakim Mohd Aliakabar, 21, berkata beliau menyedari mengenai dua calon Parlimen Padang Serai yang menarik diri daripada media sosial.

Penduduk Kampung Syed Sheikh di sini itu berkata, walaupun baru mengundi buat pertama kali, beliau teruja untuk mengetahui situasi politik semasa terutama di Parlimen Padang Serai.

“Saya sudah tahu mana calon yang sudah tarik diri, jadi saya tak perlu mengundi mereka lagi. Walaupun ada banyak nama dalam kertas undi, saya tidak keliru sebab sudah tahu mana yang perlu diundi,” katanya.

Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN) PRU15 Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj dan calon Warisan, Mohd Bakhri Hashim memutuskan untuk menarik diri bagi memberi laluan kepada calon PH, Mohamad Sofee.

Bagaimanapun, nama dua calon tersebut kekal dalam kertas undi Parlimen Padang Serai berdasarkan Perkara 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, iaitu tiada seorang pun calon boleh menarik balik pencalonannya selepas jam 10 pagi pada hari penamaan. – Bernama