Selangor atasi pencemaran bau di Taman Puncak Jalil

in Edisi Selangor KL by

Sze Han (tengah) mengiringi Amirudin (dua kanan) ketika Menteri Besar itu mengadakan lawatan ke tapak berkenaan.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sudah memulakan kerja-kerja awalan di kolam takungan dan tapak sampah haram di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan bagi mengurangkan kesan pencemaran bau.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han memaklumkan kerja pencairan dan rawatan air menggunakan enzim efektif mikrob (EM) dilakukan di kolam takungan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Penggunaan enzim EM bertujuan bagi rawatan air di kolam takungan JPS dan longkang yang berdekatan dan kita juga memastikan aliran air larian permukaan tidak memasuki kolam takungan yang sedia ada.

“Selain itu, kita turut menutup aliran air keluar takungan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Sebelum ini, pencemaran bau dilaporkan sekitar Taman Puncak Jalil berikutan tapak pelupusan sampah haram yang tidak beroperasi sejak dua tahun lalu mula mengalirkan air sisa kumbahan dan meninggalkan bau busuk.

Isnin lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari terus mengadakan lawatan ke tapak pelupusan sampah haram berkenaan dan memaklumkan kerajaan negeri akan membina ban di tapak pelupusan sampah haram tersebut bagi mengelak air sisa kumbahan mengalir ke kolam berhampiran.

Beliau turut memaklumkan penyelesaian jangka pendek itu diharap mengurangkan keresahan kira-kira 10,000 penduduk sekitar termasuk Bukit Serdang 5 yang terpaksa menghidu bau busuk.