Tak patut malukan Ronaldo

in Sukan by

Cristiano Ronaldo -Foto EPA

KAKAK Cristiano Ronaldo, Elma Aveiro tampil membidas pengendali Portugal, Fernando Santos yang menggunakan alasan taktikal untuk tidak menurunkan adiknya itu dalam kesebelasan utama ketika perlawanan 16 pasukan terbaik Piala Dunia Qatar 2022 pada Rabu.

Menurutnya, tindakan Santos itu didakwa memalukan Ronaldo dan tidak seharusnya berlaku apatah lagi pemain berusia 37 tahun itu telah memberikan banyak sumbangan kepada negara kelahirannya.

“Saya tidak tahu mengapa dan saya tidak memahaminya, tetapi saya pasti kita akan mendapat jawapan daripada Tuhan nanti,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagramnya sebelum perlawanan bermula.

Ronaldo tidak berada dalam kesebelasan utama pasukan ketika menentang Switzerland dengan Santos mendakwa ia adalah satu perancangan taktikalnya.

Bekas pemain Manchester United itu hanya dimasukkan sebagai pemain gantian ketika permainan berbaki 17 minit.

Sebelum itu, Santos dilaporkan tidak menyukai sikap Ronaldo yang tidak berpuas hati ketika digantikan semasa menentang Korea Selatan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Elma sekali lagi menyiarkan satu hantaran di Instagramnya selepas Portugal berjaya meraih kemenangan 6-1 ke atas Switzerland dengan terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada negaranya.

“Ya Ronaldo tidak kekal, ya Ronaldo tidak akan bermain selama-lamanya. Malangnya dia tidak menjaringkan gol sekarang, dia sudah tua, Portugal tidak memerlukan Ronaldo.

“Kita bercakap tentang apa yang kita dengar. Semua yang dia buat tidak penting dan semua yang dia buat telah dilupakan.

“Adalah sangat mengecewakan memalukan seorang lelaki yang telah memberi begitu banyak kepada negara,” katanya.