'Undi kali kedua tidak menyusahkan' – Pengundi DUN Tioman

in Politik by

Pengundi DUN Tioman selesai membuang undi di Pusat Pembuangan Undi di SMK Tanjung Gemuk pada Rabu. Gambar kecil: E Ali, Rohani

ROMPIN – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyifatkan proses pengundian kali kedua pada Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) di kawasan itu bukan sesuatu yang menyusahkan.

Sebaliknya, itu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan pengundi bagi memilih calon terbaik mewakili suara mereka di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

E Ali Bakar, 66, berkata, pengundian kali kedua tidak menjadi bebanan kepada dirinya.

Namun katanya, ia merupakan satu peluang perlukan dimanfaatkan pengundi untuk memilih pemimpin yang boleh memberi khidmat kepada rakyat tanpa bermusim.

“Tidak susah pun hendak datang mengundi, sama ada kali kedua atau pertama. Perkara yang penting adalah kita sebagai pengundi dapat menentukan atau memilih calon yang boleh memberi keuntungan kepada rakyat dari segi ekonomi dan pembangunan di kawasan ini.

“Jadi, peluang dan ruang yang ada ketika pemilihan ini (PRU) perlu gunakan sebaik mungkin bagi memastikan penduduk dapat membuat keputusan terbaik demi keselesaan pengundi di kawasan DUN Tioman,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Pembuangan Undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemuk pada Rabu.

Dia yang bekerja sendiri mengakui berpuas hati kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih, walaupun bukan individu pertama yang membuang undi.

Dalam pada itu, suri rumah, Rohani Awang, 52, memberitahu kewajipan untuk mengundi tetap dilaksanakan walaupun dalam keadaan bertongkat.

Menurutnya, malah dia tetap bersemangat untuk membuang undi walaupun pada kali kedua kerana merasakan ia adalah sesuatu yang istimewa dan jarang-jarang berlaku.

“Saya langsung tidak kisah kali kedua buang undi kerana perkara paling penting saya dapat menunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin.

“Kalau saya tidak datang mengundi kerana rasa terbeban dan pastinya akan kecewa jika pemimpin yang dirasakan layak menang tidak beroleh majoriti, jadi adalah lebih baik jika saya hadir bagi membuang undi pada hari ini,” jelas ibu kepada lima anak itu.

Sementara itu, penjawat awam, Mohd Aimi Abdul Rahman, 45, tidak menolak kemungkinan jumlah peratusan pengundi akan menurun disebabkan ‘mood’ orang ramai yang menganggap pilihan raya bukan lagi satu kepentingan selepas pembentukan kerajaan.

Namun, baginya, situasi itu bukan satu masalah kerana ia berlaku di luar jangkaan.

“Sebagai pengundi, kita tetap perlu tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan bagi saya sendiri, mengundi dua kali ini sesuatu yang jarang berlaku tetapi kami telah melaluinya,” kata bapa kepada tiga anak itu.