Zuraidah terajui S P Setia Foundation

in Bisnes by

ZURAIDAH

SETIA ALAM – S P Setia Berhad (S P Setia) melantik Datuk Zuraidah Atan sebagai Pengerusi S P Setia Foundation berkuat kuasa 1 Disember lepas menggantikan Allahyarham Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

S P Setia dalam satu kenyataan berkata, Zuraidah terlibat dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat dan dikenali sebagai seorang yang berjiwa besar dalam hal-hal kebajikan dan memartabatkan komuniti yang kurang bernasib baik di Malaysia.

“Sebagai Pengerusi S P Setia Foundation, Zuraidah akan menerajui visi kumpulan dan mencipta impak yang positif kepada komuniti negara, memupuk integrasi kebangsaan dan perpaduan ke arah masyarakat yang penyayang,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Zuraidah kini sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif S P Setia dan Pengerusi Jawatankuasa Audit S P Setia.

Zuraidah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of Buckingham, England dan memiliki Certificate in Legal Practice (Malaysia) dan Malaysian Bar serta peguam di bawah firma guamannya sendiri, Chambers of Zuraidah Atan.

Zuraidah juga merupakan Pengerusi International Association of Traffic and Safety Sciences (IATSS) Forum (Japan) National Committee in Malaysia iaitu program tahunan Latihan Kepimpinan Asean-Jepun untuk profesional muda yang dihantar ke Suzuka City, Jepun.

Zuraidah juga memegang beberapa jawatan penting antaranya penasihat Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.