Di sebalik PRU15 Padang Serai, Tioman

in Analisis Sinar by

Foto Bernama

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang pada malam Rabu akhirnya menjawab teka-teki rakyat.

Kerusi Parlimen Padang Serai dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin yang memperoleh sebanyak 51,637 undian dengan majoriti, 16,260.

Beliau menewaskan saingan utama daripada Pakatan Harapan (PH) Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat sokongan sebanyak 35,377.

Selain itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraj meraih undian sebanyak 2,983 manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diwakili Hamzah Abd Rahman mendapat 424 sokongan.

Pada masa yang sama, Parti Warisan (Warisan) yang mempertaruhkan Mohd Bakhri di kerusi itu mendapat 149 undi sementara calon Bebas, Sreanandha Rao, 846 sokongan.

Kemenangan PN di Parlimen itu secara rasmi menamatkan rekod hatrik PH yang selama ini memegang kawasan berkenaan sejak beberapa penggal lalu.

Beralih ke Pahang, Barisan Nasional (BN) dilihat masih berjaya mempertahankan kubu kuatnya apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada pilihan raya kali ini meskipun calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain mendapat majoriti tipis, 573 undi.

Beliau memperoleh 8,080 sokongan mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hisham yang mendapat 7,507 undian.

Jika ditelusuri, keputusan PRU15 ini menjadi satu kayu ukur daripada segi kepercayaan rakyat terhadap kedua-dua gabungan itu terutama PH.

Kekalahan PH di Padang Serai tidak boleh dianggap remeh memandangkan mereka baru sahaja membentuk kerajaan pada 24 November lalu.

Sedangkan semasa PH membentuk kerajaan pada PRU14, mereka masih mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di beberapa tempat secara berturut-turut seperti Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson.

Hanya selepas beberapa ketika, gabungan tersebut mengalami kekalahan seperti di Semenyih, Tanjung Piai dan Cameron Highland.

Di Tioman pula, kemenangan BN tipis itu sebenarnya merupakan kali pertama buat mereka memandangkan pada beberapa penggal sebelum, mereka mendapat majoriti undian 1,000 ke atas.

Penganalisis Politik Universiti Malaya, Dr Tawfik Yaakub berkata, perkara tersebut dipercayai merupakan respons ketidakselesaan rakyat terhadap situasi kepimpinan parti berkenaan kini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyatakan ia berpunca daripada trend penolakan terhadap gabungan PH dan BN yang masih tinggi.

Bagaimanapun, keputusan di dua kerusi ini merupakan satu isyarat persediaan buat PH dan BN memandangkan mereka bakal berhadapan sekali lagi dengan PN yang kini merupakan saingan utama di beberapa buah negeri pada pilihan raya tahun hadapan.