Johor akan ganti 6,000km saluran paip lama bawah tanah

in Edisi Johor by

Mohr Fazli pada sidang akhbar selepas sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri akan menukar 6,000 kilometer (km) saluran paip lama bawah tanah dengan paip baharu dalam usaha menyelesaikan isu gangguan bekalan air bersih yang kerap berlaku.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Fazli Mohd Salleh berkata, saluran paip lama jenis simen berusia lebih 30 tahun, dan mudah pecah ketika penggalian bagi kerja-kerja naik taraf jalan raya dilakukan.

“Di Johor terdapat jajaran paip bawah tanah sepanjang 26,000km. Daripada jumlah itu 20,000km sudah diganti baharu manakala bakinya 6,000km masih dalam tindakan.

“Sebelum kontraktor membuat kerja-kerja penggalian, peta utiliti akan dibuat untuk mengesan kedudukan paip bawah tanah. Bagaimanapun peta utiliti tidak dapat mengesan paip lama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.

Pada Oktober lalu, kira-kira 120,000 akaun pengguna di sekitar Pasir Gudang mengalami gangguan bekalan air tidak terancang susulan kejadian paip pecah ketika kerja-kerja pemasangan paip utama yang dijalankan berhampiran Persiaran Seri Alam, Masai.

Mohd Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir berkata, kerja-kerja penggantian paip lama itu memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun.

“Johor peruntukan sejumlah RM280 juta setahun untuk menggantikan saluran paip lama. Oleh itu perbincangan akan diadakan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memohon dana tambahan.

“Langkah itu bagi membolehkan tempoh masa penggantian saluran paip lama diganti dalam masa lebih pendek,” katanya.