Johor berjaya tarik pelaburan RM3.968 bilion dari Singapura

in Edisi Johor by

Ting Han menjawab soalan tambahan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.

ISKANDAR PUTERI – Nilai pelaburan sebanyak RM3.968 bilion dari Singapura berjaya dibawa Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura yang dibuka di republik itu pada suku pertama tahun lepas.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, kejayaan itu turut dibantu dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Johor.

Katanya, menerusi JETCO sebanyak 15 siri perbincangan dengan pelbagai agensi di Singapura telah diadakan dan tiga siri lawatan suai kenal melibatkan ahli perniagaan dari Singapura ke Johor telah dianjurkan.

“Setakat bulan Jun tahun ini, sebanyak RM6.668 bilion jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan telah direkodkan, yang mana RM5.65 bilion daripadanya adalah pelaburan langsung asing (FDI).

“Daripada RM5.65 bilion itu, RM3.968 adalah pelaburan dari Singapura dengan kebanyakannya dalam elektrik dan elektronik dan peralatan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan R Vidyananthan (BN-Kahang) dan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Benut) mengenai keberkesanan JETCO dalam membawa pelaburan dari Singapura ke Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.

Ting Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, JETCO telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama menerusi usahasama pintar bersama agensi-agensi yang berkaitan dari Singapura.

Selain itu, JETCO juga telah menyertai tiga ekspo berkaitan perdagangan dan pelancongan di Singapura, tambahnya.

“Semua usaha yang telah dilaksanakan ini dilihat dapat memberi impak yang amat positif dan memberangsangkan.

“Saya percaya ini adalah antara kejayaan-kejayaan JETCO dan tahun hadapan, kerajaan negeri akan giat lagi menarik pelaburan daripada luar termasuk Singapura,” ujarnya.

Sementara itu, sebanyak 1,325 hektar tanah di negeri ini bakal dibangunkan sebagai tanaman kelapa menjelang 2027, bagi menampung permintaan kelapa di dalam negara.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, langkah itu mampu mengekalkan Johor sebagai pengeluar kelapa.

“Johor merupakan pengeluar kelapa dan benih kelapa dalam negara, namun keperluan benih kelapa setahun dianggarkan sebanyak 53,000 benih kelapa.

“Ia tidak mencukupi kerana kemampuan pengeluaran benih kelapa yang dikeluarkan oleh Pusat Pertanian Jorak (Pusat Bekalan Benih Kelapa) ialah sekitar 28,000 benih kelapa setahun.

“Bagi meningkatkan lagi pengeluaran benih kelapa dengan memperkasakan lagi pusat pengeluaran benih kelapa seperti di Taman Pertanian Johor, Kong Kong, Masai, Parit Botak Batu Pahat di bawah kelolaan Jabatan Pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Jefridin Atan ( BN- Kukup) mengenai inisiatif membantu peladang dalam usaha penanaman pokok kelapa pada persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.