Kesalahan lebih muatan paling tinggi

in Edisi by

Hanif membuat pemeriksaan dokumen dalam Operasi Rentas Sempadan Zon Selatan.

PORT DICKSON – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan telah mengeluarkan 1,380 notis dalam Operasi Rentas Sempadan Zon Selatan sepanjang tiga hari operasi diadakan bermula Selasa lalu.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf, sebanyak 3,743 kenderaan yang telah diperiksa dan 820 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Kesalahan lebih muatan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak (202 kes) diikuti Lesen Memandu Kompeten (CDL), (181 kes).

“Antara kesalahan lain yang banyak direkodkan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (149 kes) dan tiada insurans(118),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi itu di Lebuhraya Seremban-Port Dickson di sini pada Khamis.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan bertujuan memastikan keselamatan serta pematuhan pengguna-pengguna jalan raya terhadap peraturan lalu lintas yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan.

Tambahnya, antara tujuan lain ialah untuk memfokuskan penguatkuasaan terhadap kenderaan barangan terutamanya dari aspek isu kesalahan membawa lebih muatan, memotong sebelah kiri, tujuh kesalahan utama dan pelbagai kesalahan lain.

“Peringkat awal operasi ini dimulakan di Johor pada 19 hingga 21 Julai lalu diikuti Melaka pada 27 hingga 29 September lalu.

“Operasi khas ini di Negeri Sembilan turut melibatkan Polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS),” katanya.