MPKB-BRI tangguh tindakan kunci tayar

in Edisi by

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menghormati Mahkamah Rayuan yang memutuskan undang-undang kunci tayar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tidak sah kerana bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Keputusan itu dibuat selepas seorang kerani, Nursyafawati Kasim, 33, dikenakan tindakan kunci tayar dalam kejadian pada Julai 2019.

Wanita itu kemudiannya mengambil keputusan membawa kes itu ke mahkamah.

Yang Dipertuanya, Rosnazli Amin melalui kenyataan pada Khamis memaklumkan sudah mengarahkan peguamcara pihak berkuasa tempatan itu, Marwalis Adam dan Shaharuddin Mohamed memohon alasan penghakiman penuh berkaitan keputusan kes itu.

Menurut beliau, perkara itu dibuat sebelum keputusan sama ada untuk memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.

“Justeru, berkuat kuasa 8 Disember 2022, tindakan kunci tayar di bawah Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) (Majlis Perbandaran Kota Bharu) 2000 akan ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang diberitahu kelak,” katanya.

Ketika kejadian pada Julai 2021, kereta Perodua Myvi milik Nursyafawati, dikunci tayar di dalam petak kereta, Jalan Sultan Yahya Petra tiga tahun lalu.

Tindakan kunci tayar oleh penguat kuasa MPKB-BRI itu dijalankan selepas mendapati wanita itu meletakkan kereta dengan tidak membayar caj ditetapkan selain mempunyai tunggakan kompaun.

Wanita itu kemudiannya mengambil tindakan undang-undang terhadap MPKB-BRI bermula Oktober tahun sama.

Mahkamah Rayuan mendapati bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) (MPKB) 2000 adalah bertentangan dengan Seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Khamis, peguam Nursyafawati, Hisham Fauzi memberitahu, perkara utama dalam kes itu ialah MPKB-BRI pada tahun 2000 tidak mendapat kebenaran bertulis daripada menteri untuk menguatkuasakan undang-undang kecil berkaitan jalan raya atau mengunci tayar sepanjang tempoh 22 tahun hukuman itu dilaksanakan di negeri ini.

Selain itu katanya, MPKB-BRI juga tidak menyiarkan undang-undang mengenai mengunci tayar di dalam warta kerajaan.

Sebelum itu, tiga hakim bersidang secara dalam talian ialah Hakim Datuk Abdul Karim Jalil dan Hakim Datuk Supang Lian dan Hakim Datuk Hashim Hamzah yang turut membacakan keputusan mahkamah.