Perhilitan tambah perangkap tangkap harimau dahan

in Edisi by

Seekor kambing milik penduduk yang diserang harimau dahan di Kampung Surau,mukim Belantik beberapa hari lepas.

ALOR SETAR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah menambah perangkap bagi menangkap harimau dahan yang dipercayai menyerang haiwan ternakan penduduk di empat kampung di mukim Belantik, Sik.

Pengarahnya, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap isu harimau dahan yang membaham ternakan penduduk sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka terbabit.

Beliau berkata, operasi menangkap haiwan liar itu dilakukan selepas Perhilitan menerima aduan penduduk mengenai kehadiran harimau dahan di kawasan terbabit.

“Pada mulanya, Perhilitan meletakkan satu perangkap untuk menangkap harimau dahan itu, namun Perhilitan mengambil tindakan lanjut dengan menambah satu lagi perangkap di kawasan mukim Belantik itu.

“Langkah ini bagi memastikan harimau dahan yang dipercayai menyerang haiwan ternakan penduduk tempatan itu dapat ditangkap dengan segera,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Jamalun, siasatan mendapati hanya seekor harimau dahan yang dipercayai melakukan serangan ke atas haiwan ternakan di Kampung Pinang, Kampung Belantik, Kampung Surau dan Kampung Lintang itu.

“Walaupun serangan berlaku di empat kampung berbeza di mukim Belantik, namun kita percaya ia melibatkan harimau dahan yang sama dan kita telah memasang perangkap untuk menangkap haiwan itu,” katanya.

Pada 5 Disember lepas, media melaporkan kejadian serangan harimau dahan ke atas haiwan ternakan penduduk hingga mengakibatkan kerugian ribuan ringgit didakwa kembali menghantui penduduk di empat kampung di mukim Belantik, Sik.

Ia susulan dilaporkan lebih 32 ekor kambing dan beberapa ekor haiwan ternakan lain milik penduduk yang mati dan hilang dipercayai akibat dibaham harimau dahan sejak empat bulan lepas.