Perhilitan tingkat usaha tangkap, halau gajah liar

in Edisi by

Rumah mangsa yang diserang gajah liar di Kampung Simoi Baru Pos Betau dekat Kuala Lipis pada Selasa. –

KUANTAN – Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang telah meningkatkan usaha bagi menangkap dan menghalau gajah-gajah liar di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau ke Hutan Simpan Jelai sejak Rabu.

Ia susulan insiden serangan haiwan liar tersebut yang menyebabkan seorang wanita Orang Asli maut dipijak gajah di Kampung Simoi Baru Pos Betau dekat Kuala Lipis di sini pada awal pagi Selasa.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin memberitahu, peningkatan itu dilakukan dengan penambahan kakitangan dan aset seperti kenderaan dan senjata api.

Menurutnya, seramai 20 anggota Perhilitan juga telah ditempatkan di kawasan terbabit.

“Operasi ini diselaras oleh Pegawai Daerah Lipis bagi menggerakkan kerjasama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak Perhutanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Kerja Raya serta Penghulu Mukim Ulu Jelai.

“Ini untuk membantu menjamin keselamatan penduduk kampung dan menyalurkan maklumat yang tepat bagi melancarkan operasi yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi pada Selasa itu, mangsa, ibu kepada tujuh anak, Wak Angkat Yok Tong, 39 meninggal dunia di tempat kejadian.