'Saya tak pernah tandatangan SST tebatan banjir' – Tuan Ibrahim

in Nasional by

Tuan Ibrahim

KOTA BHARU – Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tidak pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana syarikat berkait projek tebatan banjir yang berjumlah RM15 bilion.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, sehubungan itu tidak timbul soal hendak membatalkan projek-projek kerana belum ada apa-apa kelulusan.

Katanya, Pantai Timur berdepan masalah banjir sejak berpuluh tahun yang menyebabkan kerugian antara RM6 bilion hingga RM7 bilion setiap kali bencana itu berlaku.

“Banjir seolah-olah tidak ada langkah, jadi semasa zaman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau melihat keperluan dana yang besar sebanyak RM15 bilion diperuntukkan tetapi belum lagi dilaksana dan baru dalam proses untuk ditentukan mana-mana keutamaan.

“Peruntukan bukan untuk tebatan banjir sahaja tetapi juga untuk naik taraf sistem contohnya MetMalaysia dan amaran awal banjir kepada pengguna, satu pakej yang besar tetapi satu pun belum lulus dan saya belum pernah keluarkan sebarang SST kepada mana-mana syarikat,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2022 di Hotel Perdana, di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, menjadi hak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneliti semula projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan tersebut.

“Secara peribadi, saya rasa perkara ini perlu diteruskan demi kepentingan rakyat dan negara untuk mengurangkan bencana, kematian dan kos.

“Kalau tidak buat, kita akan mengalami banyak kerugian dan projek-projek ini perlu disegerakan,” katanya.

Anwar pada Selasa lalu, mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir melalui rundingan terus tanpa proses tender diteliti semula supaya mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan walaupun atas alasan umpamanya membantu menyegerakan langkah tangani banjir.