'Segerakan RCI, pendakwaan terhadap Nazlan, Zeti'

in Nasional by

MOHD PUAD

JOHOR BAHRU – Kerajaan didesak menyegerakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Tabung Haji.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata UMNO mesti kekal sebagai pendorong, periksa dan seimbang kepada kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu menjelaskan pendakwaan juga perlu disegerakan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Selain itu perbicaraan yang adil perlu untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sinonim dengan bossku dan saman terhadap isu Pulau Batu Putih.

“Malam ini mesyuarat MKT UMNO. Ini MKT pertama selepas Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menyertai kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“MKT UMNO mesti kekal sebagai pendorong, periksa dan seimbang (check and balance) kepada kerajaan. Tiada kompromi.

“Kerajaan perlu didesak menyegerakan RCI Tommy Thomas, RCI Tabung Haji, dakwa Hakim Nazlan, dakwa Zeti Aziz, perbicaraan adil untuk bossku dan saman isu Pulau Batu Putih,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya pada Khamis.

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, desakan itu bukan balas dendam atau salah guna kuasa tetapi untuk mencari kebenaran.

“Perikatan Nasional (PN) tidak boleh bantah. Itu sesuai dengan tagline PN ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’. PN mesti terbuka siasatan terperinci dakwaan salah kelola kewangan zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini bukan soal balas dendam atau salah guna kuasa. Ini penggiliran mencari kebenaran. Dulu, orang lain kena siasat, kini engkau kena siasat. Apadahal. Jangan sloganis,” katanya.