Sepanyol pecat Enrique sebagai jurulatih

in Sukan by

Enrique mengambil tanggungjawab di atas kegagalan Sepanyol mara ke suku akhir Piala Dunia Qatar 2022. – Foto EPA

MALANG nasib Luis Enrique apabila dipecat sebagai jurulatih Sepanyol selepas juara 2010 itu kecundang kepada Maghribi pada aksi kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 awal minggu ini.

Perkara tersebut disahkan dalam satu kenyataan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol pada Khamis.

“Presiden, Luis Rubiales dan Pengarah Sukan, Jose Francisco Molina sudah memaklumkan keputusan itu kepada jurulatih,” kata kenyataan itu.

Sepanyol diaibkan dengan kekalahan kepada Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.

Pengendali berusia 52 tahun itu selepas perlawanan mengakui bertanggungjawab ekoran kegagalan Sepanyol mara ke suku akhir.

Enrique juga mengakui bahawa beliau perlu dipersalahkan susulan kekalahan berkenaan.

Enrique dilantik sebagai jurulatih Sepanyol pada 2018 dan mempunyai kontrak sehingga hujung tahun ini.