Sokong lebih ramai MP etnik Dayak dilantik timbalan menteri

in Nasional by

Alexander Nanta Linggi

SHAH ALAM – Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyokong penuh cadangan agar lebih ramai ahli Parlimen daripada etnik Dayak dilantik sebagai timbalan menteri di dalam barisan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, barisan pemimpin daripada etnik minoriti seperti Bidayuh, Lun Bawang, Kayan/Kenyah, Melanau serta Iban juga harus diberikan peluang untuk bersama-sama terlibat dalam kerajaan.

Katanya, ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai kaum berkenaan jelas berkebolehan dan sudahpun berkhidmat selama beberapa penggal sebagai ahli Parlimen dan senator.

“Hampir kesemua mereka pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dan salah seorang daripada mereka juga pernah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

“Atas dasar itu, pengalaman luas barisan pemimpin ini perlulah dilihat sebagai pertimbangan untuk dilantik sebagai timbalan menteri di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dalam proses penelitian senarai calon timbalan menteri yang bakal mengisi pelbagai portfolio dalam kabinet.

Perkembangan tersebut dimaklumkan Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli apabila ditanya pemberita mengenai isu ketiadaan timbalan menteri ketika ini.

Mengulas lanjut, Nanta menegaskan, ahli Parlimen daripada komuniti Cina Sarawak juga perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai timbalan menteri termasuk calon daripada DAP.

“Formasi sebegini akan mencerminkan perpaduan di kalangan pemimpin berbilang kaum di negara ini di bawah pentadbiran ‘Kerajaan Perpaduan’.

“Antara ahli Parlimen yang boleh diberi pertimbangan termasuklah Datuk Willie Mongin, (Puncak Borneo-Bidayuh), Datuk Henry Sum Agong (Lawas-Lun Bawang), Dato Hanifah Tun Abdul Taib (Mukah-Melanau), Datuk Anyie Ngau (Baram-Kayan/Kenyah), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rejang-Iban) dan Datuk Seri Sophia Brodie (Sri Aman-Iban),” ujarnya.

Nanta turut mengakui beliau memahami sepenuhnya bahawa Perdana Menteri mempunyai hak untuk memilih dan memutuskan sesiapa sahaja yang dirasakan layak untuk menjawat jawatan timbalan menteri.

“Bagaimanapun, sebagai pemimpin yang mewakili etnik Dayak di dalam GPS, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membawa sentimen dan harapan masyarakat Dayak Sarawak ke kerajaan pusat.

“Saya percaya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, yang juga Pengerusi GPS, berkongsi pandangan yang sama dengan saya mengenai perkara ini,” jelas beliau.

Nanta menambah, kejayaan cemerlang Abang Johari atau lebih dikenali sebagai Abang Jo dalam menerajui Sarawak adalah kerana gaya dan citarasanya yang inklusif dan tentunya pemahaman sepenuhnya tentang hakikat bahawa Sarawak adalah negeri yang sarat dengan kepelbagaian meliputi aspek kaum, bahasa, budaya, agama dan komposisi.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan YAB Perdana Menteri dalam memperhalusi dan mempertimbangkan perkara ini.

“Harapan saya, siapa pun yang dipilih haruslah mengambil amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti demi memastikan agenda pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya lagi.