Tiga nelayan warga asing dicekup tengah laut

in Edisi by

Tiga nelayan warga asing dan seorang tekong warga tempatan ditahan selepas melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 2.4 batu nautika Sungai Burong di perairan Tanjong Karang di sini pada Rabu.

TANJONG KARANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Selangor menahan tiga warga Myanmar kerana tidak mempunyai pengenalan diri sah dan menangkap ikan secara haram di kedudukan 2.4 batu nautika Sungai Burong di perairan Tanjong Karang di sini pada Rabu.

Semua lelaki itu ditahan semasa rondaan rutin Maritim Selangor pada ‘Op Ehsan’ dan ‘Op Benteng Laut’ kira-kira jam 10.30 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, pemeriksaan terhadap dokumen mendapati semua kru warga asing gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah ketika diminta penguat kuasa.

“Semua warga asing ditahan itu berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun mendakwa mereka menerima gaji RM2,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Siva Kumar berkata, selain tangkapan tiga warga asing itu, pihaknya turut menahan bot nelayan tempatan Kelas B1 yang digunakan mereka bagi melakukan aktiviti perikanan di bawah lima batu nautika di perairan Tanjong Karang.

Katanya, seorang tekong warga tempatan turut disiasat bagi membantu siasatan.

“Bot bersama kru dibawa ke jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” jelas beliau.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta menangkap ikan di bawah lima batu nautika dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas.

“Maritim Malaysia memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ketika berada di perairan negara serta akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di sempadan negara,” jelas beliau.

Tiga nelayan warga asing dan seorang tekong warga tempatan ditahan selepas melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 2.4 batu nautika Sungai Burong di perairan Tanjong Karang di sini pada Rabu.