213 mangsa banjir dipindahkan di Terengganu

in Edisi by

KUALA TERENGGANU – Seramai 213 mangsa banjir dari 58 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran beberapa kawasan di tiga daerah di Terengganu dinaiki air.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu dalam kenyataan berkata, sebanyak lima buah PPS melibatkan daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Besut dibuka sehingga jam 4 petang pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, dua PPS dibuka di Kuala Terengganu melibatkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering dan SK Atas Tol yang masing-masing menempatkan 33 mangsa.

Sementara itu, dua buah PPS dibuka di Kuala Nerus melibatkan SK Tok Jembal (115 mangsa) dan SK Bukit Nenas (21 mangsa).

Sebuah PPS dibuka di daerah Besut iaitu di Surau Taman Perumahan Bukit Cina yang menempatkan seramai 11 mangsa dari empat keluarga.

“Keadaan cuaca hujan berlaku di semua daerah dan maklumat terkini banjir akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” kata kenyataan tersebut.