35 mangsa banjir di Perak dipindahkan

in Edisi Perak by

Banjir yang berlaku di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau menyebabkan 35 mangsa daripada 11 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS malam tadi.

IPOH – Seramai 35 penduduk Kampung Pantai Besar, Batu Kurau di daerah Larut Matang dan Selama terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir malam tadi.

Pusat Kawalan Operasi Bencana Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak malam Khamis.

“Pembukaan PPS di Sekolah Rendah Agama Rakyat As-Syabiah, Pantai Besar dilaksanakan pada jam 10 malam bagi menempatkan 35 mangsa daripada 11 keluarga yang terjejas di kampung berkenaan.

“Antara agensi yang terlibat dalam operasi banjir ini ialah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Polis, Pejabat Daerah dan Tanah serta lain-lain agensi,” kata pusat kawalan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahaya menerusi hantaran di Facebook memaklumkan hujan lebat bermula sejak petang Khamis menyebabkan banjir berlaku di beberapa kampung.

Menurutnya, selain Kampung Pantai Besar, Kampung Teras dan Pekan Ijok turut dinaiki air.

Beliau berkata, pihaknya bersama-sama agensi terlibat turut membantu menguruskan mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS.